•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Skuad Pelayaran Lepasi Sasaran, Tambah Tiga Lagi Emas



LANGKAWI, 29 Ogos (Bernama) -- Kem pelayaran negara mampu tersenyum puas apabila merangkul tiga lagi pingat emas pada hari terakhir acara itu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, melebihi sasaran lima emas keseluruhan.

Pada saingan yang berlangsung di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di sini, tiga emas itu disumbangkan menerusi kategori Optimist Boys, Optimist Girls dan Laser Radial Lelaki, sekali gus menjadikan jumlah pungutan pingat skuad pelayaran sebanyak enam emas, empat perak, tiga gangsa daripada 14 kategori yang dipertandingkan.

Sebelum ini, tiga emas disumbangkan menerusi acara Optimist Berpasukan Campuran, International 470 Lelaki dan International 420 Lelaki.

Menepati ramalan, Muhammad Fauzi Kaman Shah berjaya menundukkan lima pelayar lain dalam kategori Optimist Lelaki apabila memperoleh 12 mata penalti, 11 mata di hadapan wakil Thailand Panwa Boonnak yang merangkul perak.

Pingat gangsa dimenangi pelayar Singapura, Max Victor Teo Li Chen dengan 35 mata penalti.

Kegembiraan skuad pelayaran negara terus bertambah apabila Nurul Shazwanie Mohd Saad memperoleh emas kedua hari ini dalam kategori Optimist Girls dengan 14 mata penalti, manakala pelayar Thailand Palika Poonpat merangkul pingat perak dengan 20 mata penalti.

Pelayar Singapura Koh Radiance pula sekadar berpuas hati dengan pingat gangsa dengan 26 mata penalti.

Ini merupakan emas kedua Nurul Shazwanie setelah turut memenangi emas dalam Optimist Berpasukan pada cabaran hari kedua, bersama barisan pelayar muda, Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali, Muhammad Fauzi Kaman Shah dan Nor Nabila Natasha Mohd Nazri.

Emas turut ditokok Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan yang berjaya memperoleh 10 mata penalti dalam kategori Laser Radial Lelaki, pingat perak dimenangi pelayar Singapura, Bernie Chin Cheok Khoon dengan 15 mata penalti, dan pelayar Thailand sekadar memperoleh gangsa melalui Apiwat Sringam yang memperoleh 22 mata penalti.

Bagaimanapun, atlet wanita pertama ke Sukan Olimpik dalam acara pelayaran, Nur Shazrin Mohamad Latif sekadar memperoleh perak hari ini apabila hanya lima mata yang membezakannya dengan pemenang pingat emas kategori Laser Radial Wanita, Jillian Lee Sook Ying daripada Singapura yang memperoleh 12 mata penalti, manakala gangsa dimenangi pelayar Thailand, Kanapan Pachatikapanya.

Bagi kategori Laser Standard, Khairulnizam Mohd Affendy, pemenang pingat perak kategori itu di Sukan SEA ke-28 di Singapura dua tahun lalu, terpaksa 'turun satu tangga' apabila hanya memperoleh gangsa dengan 24 mata penalti.

Singapura mempertahankan emas kategori itu melalui Ryan Lo Jun Han yang memperoleh 17 mata penalti, manakala pingat perak diraih pelayar Thailand, Keerati Bualong dengan 20 mata penalti.

-- BERNAMA