•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Anja Chong Raih Emas 500m Speed Skating


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Atlet luncur ais negara, Anja Chong mengatasi empat lagi peserta untuk memenangi pingat emas acara Speed Skating 500m wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KLl20127) di Ice Arena, Empire City, dis ini hari ini.

Peluncur ais berusia 23 tahun itu menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk merakamkan catatan masa terpantas 48.448 saat (s) untuk mengatasi wakil Thailand, Vorravalan Leechinnaphat yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan masa 53.293s.

Bagaimanapun, peluncur negara, Ashley Chin yang mencatatkan masa 49.647s gagal meraih pingat gangsa selepas dikenakan penalti kerana mengasari peluncur Singapura, Cheyenne Goh.

Justeru, Cheyenne, yang mencatatkan masa 1:05.581s dihadiahkan gangsa.

"Saya berusaha dengan keras untuk kejayaan ini...emas ini adalah untuk mereka yang sentiasa memberi sokongan khususnya keluarga saya," kata Anja selepas majis penyampaian pingat oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia (OCM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar.

Bagi kategori lelaki pula, tuah ternyata berpihak kepada peluncur muda negara, Mohamad Ariff Rasydan Mohamad Fadzli yang meraih pingat gangsa dengan catatan masa 45.778s dalam pusingan kelayakan.

Beliau, yang pada mulanya gagal ke pusingan akhir dalam acara itu, dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga apabila rakan senegara Wong De-Vin dan peluncur Thailand, Teerasak Boonpok yang bersaing di final dikenakan penalti.

"Tak sangka boleh menang, ini semua rezeki...dalam saingan ini memang tak boleh jangka dan kita hanya perlu buat yang terbaik," katanya yang meletakkan sasaran menjuarai emas bagi acara relay 3,000m esok.

Pingat emas dirangkul Triphop Thongngam dari Thailand manakala pingat perak dimenangi atlet Indonesia, Steavanus Wihardja dengan masing-masing merekodkan masa 44.076s dan 1:13.456s.

-- BERNAMA