•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Deni Sumbang Emas Pertama Indonesia Acara Angkat Berat


KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Atlet angkat berat Indonesia, Deni menyumbangkan emas pertama acara angkat berat kepada negaranya apabila muncul juara kategori 69 kilogram (kg) pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (Kl2017), hari ini.

Deni berjaya melakukan angkatan keseluruhan sebanyak 312 kg, hasil daripada 142 kg angkatan bagi disiplin 'snatch' dan 170 kg disiplin 'clean & jerk' pada perlawanan akhir di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC).

Beliau mendahului peserta Thailand, Trirat Boonsuk yang meraih perak melalui angkatan keseluruhan bebanan sebanyak 310 kg (140 kg disiplin 'snatch' dan 170 kg disiplin 'clean & jerk').

Pingat gangsa pula menjadi milik Vietnam menerusi Pham Tuan Anh yang mengangkat bebanan keseluruhan 306 kg (135 disiplin 'snatch' dan 171 disiplin 'clean & jerk').

Dalam pada itu, peserta tuan rumah Muhammad Erry Hidayat Muhammad Hidayat yang sekadar ditempat keempat tetap bersyukur kerana beliau berjaya mengatasi rekod peribadinya pada penampilan sulung di temasya antarabangsa.

Muhammad Erry Hidayat yang menyertai KL2017 menggantikan Hafifi Mansor yang cedera, melakukan angkatan bebanan keseluruhan 281 kg (125 kg disiplin 'snatch' dan 156 kg disiplin 'clean & jerk') mengatasi rekod peribadi terdahulu dalam disiplin 'clean & jerk' iaitu 150 kg.

"Memang saya tidak letakkan sasaran sebarang pingat. Berpeluang menyertai Sukan SEA ini dan berjaya memecah rekod peribadi pun sudah cukup bersyukur," katanya yang juga anak jaguh angkat berat negara Hidayat Hamidon.

-- BERNAMA