•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Kejayaan Azizulhasni Raih Emas Ke-111 Pengiktirafan Besar Pada Terengganu


KUALA TERENGGANU, 29 Ogos (Bernama) -- Kejayaan juara pelumba basikal negara, Azizulhasni Awang merangkul emas ke-111 buat kontinjen Malaysia dalam acara pecut individu lelaki semalam adalah satu pengiktirafan besar kepada negeri Terengganu.

Terdahulu, pelumba wanita negara, Fatehah Mustapa, juga atlet dari Terengganu turut merangkul emas ke-110 dalam acara pecut individu wanita.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kejayaan Azizulhasni sebagai anak Terengganu sekali lagi menunjukkan dominasi Terengganu sebagai kuasa besar sukan selain bidang pendidikan.

"Syukur alhamdulillah, negara kita Malaysia telah pun berjaya mencapai sasaran 111 pingat emas untuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017."

"Lebih membanggakan, emas ke-111 kita disumbangkan oleh anak Terengganu, Azizulhasni Awang dalam acara pecut individu lelaki di Velodrom Nasional. Walaupun terjatuh dalam separuh akhir saingan kedua, tetapi dengan semangat juang yang tinggi, beliau bangkit semula untuk menjuarai acara tersebut."

"Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Terengganu sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Azizulhasni dan Fatehah, serta seluruh atlet Terengganu yang mewakili Malaysia di atas kejayaan menyumbangkan pingat emas kepada negara sehingga kita berjaya mencipta sejarah buat negara kita," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Razif berkata cerita kejayaan rakyat Terengganu di dalam bidang sukan tidak akan terhenti setakat temasya Sukan SEA 2017 semata-mata.

"Teruskan perjuangan dan ciptalah lebih banyak cerita-cerita kejayaan sehingga ke persada antarabangsa. rakyat negeri Terengganu khasnya, dan Malaysia amnya sentiasa mendoakan kejayaan atlet-atlet kita," katanya.

Semalam, Azizulhasni atau gelarannya The Pocket Rocketman itu menggenggam emas idamannya dalam acara itu selepas menewaskan pelumba pelapis Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam perlumbaan akhir pecut di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan.

-- BERNAMA