•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Raih Perak Dalam Acara Omnium Lelaki


NILAI, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia meraih perak dalam acara omnium lelaki di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung di Velodrom Nasional di sini, malam ini.

Pelumba negara Sofian Nabil Omar Mohd Bakri menghadiah sebutir lagi pingat kepada kem negara selepas mengutip 136 mata keseluruhan daripada empat peringkat pusingan omnium, empat mata di belakang pelumba Singapura Calvin Sim yang meraih emas selepas memungut 140 mata.

Pingat gangsa dimilik pelumba Indonesia Nandra Eko Wahyudi yang meraih 135 mata.

Dalam tiga perlumbaan omnium iaitu scratch 10 kilometer, tempo race 10km dan penyingkiran, pelumba negara itu bermula cemerlang dengan memperoleh 112 mata keseluruhan .

Namun dalam perlumbaan akhir omnium, iaitu point race 25km, Sofian Nabil Omar yang bergandingan dengan Mohd Zawawi Azman terpaksa akur dengan kayuhan bertenaga pelumba Singapura itu yang dilihat lebih mendominasi perlumbaan.

Bagaimanapun, Mohd Zawawi menamatkan saingan di tempat ketujuh selepas mengutip 106 mata.

Sepuluh pelumba mengambil bahagian dalam acara itu dari negara peserta iaitu Indonesia, Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan tuan rumah Malaysia.

-- BERNAMA