•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Raih Emas Ke-111, Kemenangan Bermakna Buat Azizulhasni



NILAI, 28 Ogos (Bernama) -- Kejayaan meraih pingat emas dalam acara pecut lelaki individu di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hari ini merupakan kenangan paling manis dalam lipatan kerjaya juara dunia Mohd Azizulhasni Awang.

Pingat emas yang dimenanginya bukan sahaja melengkapkan sasaran 111 pingat emas kontinjen negara tapi juga pingat emas pertamanya untuk acara individu di pentas Sukan SEA selepas kali terakhir beraksi di Korat, Thailand pada 2007.

Beliau berkata beraksi di hadapan penonton khususnya isteri dan dua anaknya serta anggota keluarga lain menimbulkan perasaan yang tidak dapat digambarkan apatah lagi menerima sorakan peminat yang memenuhi setiap ruang di Velodrom Nasional malam ini.

"Selepas 10 tahun, saya dapat beraksi di Sukan SEA di hadapan penyokong sendiri... ada isteri, anak-anak, ibu bapa dan ibu bapa mertua yang jarang dapat melihat saya beraksi secara langsung.

"Saya lagi rasa terharu bila dapat tahu sayalah pemenang pingat emas ke-111, satu kenangan dan memori yang indah buat saya. Tambahan ini adalah Sukan SEA yang terakhir buat saya," katanya.

Dalam pada itu, Azizulhasni yang dikenali sebagai "The Pocket Rocketman" turut mendedikasikan pingat emas yang dimenanginya buat isteri, Athiah Ilyana Abdul Samat.

"Kali terakhir di Korat saya hadiahkan emas pada isteri, dan selepas 10 tahun, saya dan isteri berkahwin dan dah ada dua anak, saya hadiahkan sekali lagi pingat emas untuknya," katanya.

Pada aksi akhir hari ini, Azizulhasni menewaskan pencabar terdekatnya yang juga rakan senegara Muhamad Shah Firdaus Sahrom 2-0 dalam penentuan pingat emas.

Pingat gangsa dimenangi pelumba Thailand, Jaturong Niwanti yang mengenepikan Puguh Admadi dari Indonesia dalam pusingan penentuan gangsa.

Terdahulu, pada pusingan separuh akhir, berlaku insiden yang mendebarkan apabila Azizulhasni tergelincir di selekoh keempat dan perlumbaan saringan kedua dilakukan semula.

"Biasalah kalau di trek yang masih baharu. Saya agak terkejut bila terjatuh tadi dan siku sedikit terkoyak (luka) dan sakit sikit masa aksi final.

"Tapi sebab fokus hendak menang emas, semua itu diabaikan. Shah Firdaus pun beri cabaran yang hebat tapi pengalaman dan usia itu yang beri kelebihan pada saya," katanya.

Azizulhasni akan beraksi dalam acara keirin esok, iaitu acara yang menobatkannya selaku juara dunia di Hong Kong.

Orang ramai akan dapat menyaksikan sendiri aksi juara dunia yang akan mengenakan jersi pelangi yang dimenanginya itu.

-- BERNAMA