•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




PM Najib Ucap Tahniah Kontinjen Malaysia Raih 111 Pingat Emas



KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua atlet Malaysia atas kejayaan meraih pingat emas negara yang ke-111, sekali gus menepati sasaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Beliau berkata pencapaian bersejarah itu mengesahkan Malaysia sebagai juara keseluruhan Sukan Asia Tenggara tahun ini.

"Suka hati saya umumkan kita telah berjaya mendapat 111 emas seperti sasaran kita.

"Dengan ini, maka sahlah Malaysia menjadi juara keseluruhan Sukan SEA. Pencapaian ini mencatat sejarah gemilang oleh semua atlet Sukan SEA negara," katanya spontan bagi menyampaikan berita baik itu kepada hadirin ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek River Of Life ( Sungai Nadi Kehidupan) dan Kolam Biru di sini, hari ini.

Malaysia memungut pingat emas ke-111 pada malam ini melalui jaguh lumba basikal negara Azizulhasni Awang.

-- BERNAMA