•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Eiman Firdaus Raih Emas, Cipta Rekod Kebangsaan Kejar-mengejar Individu


NILAI, 28 Ogos (Bernama) -- Pelumba negara Eiman Firdaus Mohd Zamri meraih kejayaan berganda dalam acara kejar-mengejar individu lelaki akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, di Velodrom Nasional malam ini.

Eiman Firdaus, 19, meraih emas dalam berkenaan selepas mencatat masa 4 minit 33.863 saat, menewaskan rakan senegara Mohd Nur Aiman Mohd Zariff yang mencatat 4:41.222s untuk pingat perak.

Perlumbaan penentuan gangsa pula menyaksikan pelumba Thailand, Sarawut Sirironnachai menewaskan rakan senegara, Navuthi Liphongyu untuk pingat gangsa.

Terdahulu, Eiman Firdaus berjaya mencipta rekod baharu kebangsaan dengan catatan masa 4:25.352s yang meletakkannya di kedudukan pertama pada pusingan kelayakan pagi tadi.

Rekod terdahulu 4:38.576s dibuat Mohd Nur Aiman di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di India pada Februari tahun ini.

"Memang ramai tanya hari ini, boleh buat masa berapa tapi saya tidak pasti. Saya tidak sangka boleh catat masa ini. Bila tengok rekod masa tadi, saya pun terkejut," katanya.

Sementara itu, rakannya Mohd Nur Aiman pula berkata bersyukur dapat meraih perak pada penampilan pertamanya di temasya Sukan SEA.

"Saya tidak sangka kali pertama naik untuk Sukan SEA dapat perak. Saya juga bangga dengan Eiman yang berjaya raih emas," katanya.

Eiman Firdaus dan Mohd Nur Aiman akan beraksi dalam acara pecut berpasukan esok.

-- BERNAMA