•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Ahmad Amsyar Terima Hadiah Hari Jadi Tak Akan Dilupakan


KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Olympian Ahmad Amsyar Ahmad menerima hadiah hari jadi yang tidak akan dilupakannya selepas melakukan terjunan emas dalam acara 1m papan anjal individu lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 hari ini.

Ahmad Amsyar yang menyambut ulang tahun ke-25 hari ini, mengumpul 384.00 mata untuk pingat emas mengatasi rakan senegara Ooi Tze Liang yang dalam cubaan menuai emas ketiganya di Pusat Akuatik Nasional di sini.

Ia merupakan kilauan emas acara individu Sukan SEA bagi anak kelahiran Perlis itu, selepas memenangi emas dalam acara 3m papan anjal seirama pada edisi Nay Pyi Daw 2013 dan Singapura 2015 manakala sekadar meraih gangsa dalam 10m platform individu pada Sukan Palembang 2011.

Tze Liang yang merangkul emas dalam 3m papan anjal lelaki pada Sabtu dan 10m platform semalam, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 368.60 mata, manakala gangsa menjadi milik penerjun Singapura Mark Lee Han Ming dengan 350.55 mata.

Bagaimanapun, Ahmad Amsyar tidak dapat meraikan harijadinya malam ini kerana perlu berehat bagi menghadapi acara 3m papan anjal seirama lelaki bergandingan dengan Chew Yiwei, esok.

"Ini adalah hadiah hari jadi yang paling saya tak akan lupakan daripada Allah SWT. Saya akan raikan selepas acara terjun menutup tirai pada Rabu ini, kerana saya percaya hari jadi itu bukan sehari sahaja, tetapi sebulan.

"Pencabar terdekat saya tadi ialah Tze Liang, dia memang hebat. Pada awalnya persembahan saya tidak menarik, tetapi saya tarik nafas dan buat seperti jurulatih ajar ketika latihan dan ia menjadi," katanya kepada pemberita selepas upacara penyampaian pingat.

Kejayaan meraih emas itu amat membanggakan bapanya Azman Hassan dan ibu Rosita Ibrahim, kedua-duanya pensyarah di Institut Pendidikan Guru, Tawau yang sanggup datang dari Sabah semata-mata untuk menyaksikan anaknya beraksi.

'Saya rasa amat gembira yang beliau memenangi pingat emas pertama dalam acara individu pada hari jadinya di laman sendiri, selepas dikritik sesetengah pihak bagi persembahannya di Olimpik Rio. Saya rasa pengorbanan kami yang terpaksa berjauhan dengannya kerana perlu menjalani latihan di luar negara telah berbalas pada hari ini," kata Azman.

Ahmad Amsyar dikritik oleh media asing selepas jatuh mendatar ketika melakukan terjunan pada pusingan awal 3m papan anjal dan gagal layak ke separuh akhir Olimpik Rio 2016 pada Ogos lepas.

Pada hari ketiga pertandingan acara terjun Sukan SEA, Malaysia menyapu bersih lapan pingat emas apabila Jasmine Lau Pui Yee-Muhammad Syafiq Puteh merangkul emas dalam acara 3m papan anjal seirama dengan mengumpul 284.94 mata yang merupakan acara terakhir hari ini.

Pingat perak dimenangi penerjun Singapura Ashley Tan Yi Xuan-Joshua James Chong dengan mengumpul 243.84 mata manakala pingat gangsa menjadi milik gandingan Vietnam Vu Anh Duy-Ngo Phuong Mai dengan 234.45 mata.

Terdahulu, ratu terjun negara Pandelela Rinong mempertahankan pingat emas 10m platform individu wanita untuk empat kali berturut-turut manakala penerjun muda negara Kimberly Bong Qiang Ping, 15, meraih gangsa.

Tiga lagi pingat emas akan ditawarkan esok, iaitu acara 3m papan anjal seirama lelaki dan wanita dan 10m platform campuran seirama manakala pada hari terakhir pada Rabu, membabitkan acara 10m platform seirama lelaki dan wanita.

-- BERNAMA