•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Pelumba Malaysia Hadiahkan Emas Dan Perak Kejar-mengejar Individu


NILAI, 28 Ogos (Bernama) -- Malaysia meraih emas dan perak dalam acara Kejar-Mengejar Individu Lelaki yang berlangsung di Velodrom Nasional di sini, malam ini.

Eiman Firdaus Mohd Zamri mencatatkan masa 4 minit 33.863 saat untuk meraih pingat emas menewaskan rakan senegara Mohamad Nur Aiman Mohd Zarrif.

Mohamad Nur Aiman meraih perak dengan catatan masa 4:41.222s.

Pingat gangsa dimiliki pelumba Sarawut Sirironnachai dari Thailand yang merekodkan catatan masa 4:55.249s.

Terdahulu, pada pusingan saringan, Eiman Firdaus menduduki tempat pertama dengan masa 4:25.352s.

Mohamad Nur Aiman menduduki tempat kedua dengan masa 4:27.957s.

Kemenangan ini merupakan emas keempat yang dituai pada hari kedua acara berbasikal trek di sini.

Seramai lapan pelumba menyertai acara berkenaan daripada negara peserta iaitu Indonesia, Thailand, Singapura, Brunei dan tuan rumah Malaysia.

Kalungan pingat kepada semua pemenang disempurnakan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan diiringi Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

-- BERNAMA