•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Dominasi Skuasy, Raih Dua Pingat Emas Dan Perak


KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Memori terindah buat pemain skuasy negara, S. Sivasangari apabila berjaya meraih dua pingat emas dalam penyertaan pertama kalinya di Sukan SEA.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Sivasangari di ranking ke-61 dunia menewaskan rakan senegara, Rachel Arnold yang juga juara bertahan dan ranking 52 dunia, 15-13, 13-11, 11-6 dalam acara akhir perseorangan wanita di Pusat Skuasy Nasional, di sini.

Pemain berusia 18 tahun itu sebelum ini meraih pingat emas dalam acara beregu campuran bergandingan bersama Sanjay Singh Chal.

"Kami satu pasukan jadi siapa menang tidak ada masalah kerana kami telah beraksi dengan bersungguh-sungguh hari ini. Memang saya akui set pertama dan kedua agak sengit tapi di set ketiga saya berjaya raih kemenangan.

"Memang kami selalu berlawan bersama jadi hari ini saya cuba memberi permainan terbaik saya, tidak mudah," katanya yang akan beraksi pada Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Perancis.

Sementara itu, juara remaja dunia Ng Eain Yow menang mudah ke atas Muhammad Syafiq Mohd Kamal selepas mencatatkan mata 11-4, 11-9, 11-2.

Katanya kemenangan ke atas rakan senegara itu sekurang-kurang dapat membantu keyakinannya untuk beraksi di Jelajah Dunia PSA di Hong Kong pada bulan depan.

"Pagi tadi saya tidak beraksi dengan baik, sedikit tertekan apabila tidak cukup rehat sebab perlawanan semalam habis lambat.

"Tapi saya puas hati dengan dua pingat emas pada Sukan SEA kali ini. Ini adalah satu proses untuk saya belajar," katanya yang menyifatkan kemenangan malam ini sebagai menebus kekalahan dalam acara berpasukan lelaki, pagi tadi.

Untuk rekod, sebelum ini Eain Yow meraih pingat emas acara beregu lelaki bersama-sama Muhammad Syafiq.

-- BERNAMA