•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Banyakkan Pertandingan Sukan Cungkil Bakat Baharu - Rayzam


KOTA KINABALU, 28 Ogos (Bernama) -- Atlet negara Rayzam Shah Wan Sofian mencadangkan agar lebih banyak pertandingan sukan dianjurkan di Sabah bagi melahirkan ramai pelapis kepada atlet negara sedia ada, khususnya dari negeri ini untuk mewakili negara pada pelbagai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

Rayzam berkata langkah menganjurkan banyak pertandingan seperti itu bukan sahaja berupaya melahirkan bakat-bakat baharu dalam bidang olahraga malah dalam bidang sukan lain.

"Ramai lagi bakat-bakat sukan kita yang terpendam termasuk dari kawasan pedalaman seperti Keningau, Tenom, Nabawan, Ranau juga dari Sandakan. Cuma penganjuran pertandingan sukan kita kurang untuk mencungkil bakat-bakat ini,"katanya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur di sini hari ini.

Selain isteri, anak serta anggota keluarganya dari Keningau, turut menyambut ketibaan Rayzam di KKIA ialah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Sabah Yamani Hafez Musa serta beberapa pegawai dari Kementerian Belia dan Sukan negeri Sabah.

Pada 26 Ogos lalu, Rayzam menamatkan penantian emasnya selama sedekad selepas berjaya merampas kembali kejuaraan 110m lari berpagar lelaki di laman sendiri pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Atlet kelahiran Keningau itu mencatatkan larian 13.83s mendahului juara bertahan empat edisi berturut-turut dari Thailand, Jamras Rittidet yang memenangi perak dengan catatan 14.10s dan pemenang pingat gangsa Clinton Kingsley Bautista dari Filipina yang mencatat 14.15s.

Mengenai perancangan masa depannya, Rayzam berkata beliau berazam untuk mempertahankan kejuaraannya pada temasya Sukan SEA di Filipina dua tahun akan datang.

Bagaimanapun sebelum itu, beliau membuat persediaan untuk melayakkan diri ke dua kejohanan besar tahun depan iaitu Sukan Asia di Indonesia dan Sukan Komanwel, Australia.

Sementara itu, Yamani Hafez pula berkata sememangnya Rayzam menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah bukan sahaja kerana memenangi pingat emas dalam acara sukan yang disertainya tetapi juga disebabkan wataknya yang tidak mudah putus asa dalam memburu kejayaan dalam sukan.

"Banyak kata dia (Rayzam) sudah melepasi zaman keunggulannya tetapi dia bangkit semula dan mendapat pingat emas. Ini yang memberi semangat kepada orang-orang muda dan dia kini menjadi inspirasi orang-orang muda di Sabah untuk berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi,"katanya.

Katanya pada masa hadapan, sememangnya Rayzam sememangnya berpotensi untuk menjadi seorang jurulatih sukan dan juga motivator untuk generasi belia akan datang.

--BERNAMA