•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Badang Vietnam Padam Dua Rekod Sukan SEA


KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Atlet angkat berat Vietnam, Trinh Van Vinh memperbaharui dua rekod kejohanan pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) bagi kategori 62kg di Pusat Perdagangan dan Pameran Antabangsa Malaysia (MiTEC), di sini hari ini.

Atlet berusia 22 tahun itu meraih emas selepas melakukan jumlah keseluruhan angkatan 307kg melalui bebanan 135kg dalam disiplin Snatch dan 172kg bagi kategori 'Clean & Jerk', sekali gus memadam rekod 304kg milik Eko Yuli Irawan dari Indonesia pada edisi 2013 di Myanmar.

Selain itu, catatan 172kg bagi kategori 'Clean & Jerk' turut memadam rekod 167kg milik Eko Yuli pada edisi berkenaan.

Dalam pada itu, Eko Yuli meraih pingat perak apabila berjaya mengangkat bebanan keseluruhan 306kg (140kg 'snatch' dan 166kg 'clean & jerk') serta turut memperbaharui memperbaharui rekod Sukan SEA bagi disiplin 'Snatch' untuk kategori 62kg, dengan mengatasi rekod milkinya iaitu 137kg.

Pingat gangsa pula menjadi milik Myint Kyi dari Myanmar yang mengangkat bebanan keseluruhan 284kg (129 kg 'snatch' dan 155kg 'clean & jerk').

Dalam pada itu, peserta tuan rumah, Muhammad Aznil Bidin, sekadar meraih tempat keempat setelah mengangkat bebanan keseluruhan 279kg (120kg 'snatch' dan 159kg 'clean & jerk').

-- BERNAMA