•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Pengorbanan Berlatih Di Perantauan Pada Aidilfitri Bawa Tuah Kepada Afifi


KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Berkat pengorbanan latihan selama sebulan pada Aidilfitri, Jun lepas di Vietnam membawa makna berharga untuk Muhammad Afifi Nordin setelah meraih pingat emas dalam acara silat seni tunggal putra pada Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

Sorakan penonton jelas menaikkan semangat pesilat kelahiran Temerloh, Pahang itu yang mempamerkan aksi penuh bertenaga di hadapan juri untuk meraih pingat emas dengan catatan 470 mata untuk memenangi pingat emas.

Pesilat Indonesia, Sugianto dan wakil Thailand, Ilyas Sadara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dan gangsa menerusi kutipan 462 mata dan 457 mata.

"Pengorbanan saya menjalani latihan di Vietnam dan terpaksa meninggalkan isteri, Nik Norili Farhana Nik Mohd Din dan keluarga pada Aidilfitri tahun ini nyata berbaloi dengan kejayaan ini dan saya amat bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kejayaan ini kerana saya hanya berikan yang terbaik.

"Ini antara kejayaan manis untuk saya setelah meraih pingat gangsa dalam acara sama pada Kejuaraan Silat Sedunia 2016 di Bali, Indonesia, Disember lepas," katanya ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya acara berkenaan.

Pesilat berusia 28 tahun itu, pada masa sama turut mendedikasikan kejayaan tersebut kepada kedua ibu bapanya, isteri, rakan sepasukan, Majlis Sukan Negara serta pengurusan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) yang banyak memberikan sokongan moral kepadanya sejak terpilih menyertai skuad kebangsaan pada 2014.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam sukan silat, Muhammad Afifi menjelaskan minat untuk mendalami seni mempertahankan diri nusantara berkenaan timbul ketika beliau menuntut di Politeknik Ungku Omar, Ipoh.

"Sebelum ini saya lebih berminat acara larian seperti merentas desa tetapi sebaik sahaja melanjutkan pengajian di Politeknik Ungku Omar, saya mendapat dorongan daripada pensyarah saya, Encik Azrul Afendy yang merupakan jurulatih silat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai silat," katanya yang pernah memenangi pingat emas pada Kejohanan Silat Kebangsaan pada 2013 di Terengganu.

-- BERNAMA