•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Tiga Petinju Muay Malaysia Mara Ke Peringkat Akhir


KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Tiga petinju Muay negara mara ke peringkat akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan bakal berhadapan petinju Thailand esok.

Dalam aksi separuh akhir di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia hari ini, tiga petinju negara layak ke akhir bagi kategori 51-54kg, 54-57kg dan 63.5-67kg.

Petinju kategori 51-54kg, Mohd Ali Yaakub menewaskan petinju Kemboja Vann Voeurn, manakala Ain Kamarrudin (kategori 54-57kg) menewaskan petinju Kemboja, Lao Chetra.

Manakala Tengku Sharizal Tengku Abd Rahman (kategori 63.5-67kg) menundukkan petinju Vietnam Nguyen Van Yen.

Mohd Ali akan bertemu Surachai Nakthaem, Ain pula akan menentang Thachtana Luangphon, manakala Tengku Sharizal bertemu Mana Samchaiyaphum.

Seorang lagi petinju Muhamad Samsi Mohd Noor (kategori 67-71kg) gagal meneruskan kemaraan selepas tewas kepada Meun Sophea dari Kemboja (27-30).

Ain ketika ditemui pemberita berkata beliau nekad menghadiahkan pingat emas kepada arwah bapanya Kamarrudin Hamzah yang meninggal dunia lima hari lepas akibat barah usus.

"Dari awal penglibatan saya dalam Muay sehingga ke akhir hayatnya arwah senantiasa berada di sisi saya. Mana sahaja saya pergi berlawan beliau sanggup datang memberi sokongan walaupun kesihatan tidak mengizinkan. Sukan SEA ini kali pertama saya beraksi tanpa kehadiran ayah," katanya.

Jurulatih Bernard Radin berkata petinjunya bersiap sedia untuk menghadapi petinju Thailand esok.

"Dengan sokongan daripada penonton dan semangat para petinju yang kini berada di tahap tinggi, kami yakin boleh sumbang emas," katanya.

-- BERNAMA