•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Vietnam Tangguh Misi Pertahan Emas Thailand


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Thailand terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir kumpulan untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas terikat 1-1 dengan Vietnam di Stadium Shah Alam, di sini hari ini.

Vietnam, yang tewas kepada Thailand dua tahun lalu di final Sukan SEA Singapura, bagaimanapun terlebih dahulu mengejutkan negara 'Gajah Putih' itu seawal minit ke-11 menerusi jaringan Hai Yen Pham.

Namun, Rattikan Thongsombut muncul penyelamat apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-41 untuk terus menghidupkan peluang Thailand merangkul pingat emas.

Thailand kini terus mengungguli carta kumpulan dengan berkongsi tujuh mata bersama Vietnam di tempat kedua, namun hanya dipisahkan dengan jumlah jaringan.

Dalam pada itu, Myanmar hampir pasti merangkul pingat gangsa selepas melengkapkan perlawanan terakhir dengan kemenangan 6-0 ke atas Filipina di Universiti Malaya (UM) Arena.

Tiga gol Myanmar dijaringkan oleh Khin Moe Wai pada minit keempat, diikuti minit ke-81 dan 90 manakala tiga gol lagi dijaringkan Win Theingi Tun, Yee Yee Oo dan Naw Arlo Wer Phaw masing-masing pada minit ketujuh, (minit ke-19) dan (minit ke-20).

Selepas tiga perlawanan liga sepusingan, tuan rumah Malaysia tercorot di tangga kedudukan tanpa sebarang mata.

-- BERNAMA