•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Menang Emas, Perak Acara Beregu Campuran Boling


PETALING JAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Gandingan mantap pemain boling negara Muhammad Rafiq Ismail-Sin Li Jane berjaya menjuarai pingat emas dalam acara beregu campuran dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Sunway Mega Lanes di sini hari ini.

Kedua-dua mereka beraksi cemerlang sejak awal permainan untuk kekal di tangga pertama dengan mengumpul 2,816 jatuhan pin dalam saingan Skuad B yang berlangsung sebelah petang.

Ia sekali gus mengetepikan rakan senegara Alex Liew-Shalin Zulkifli yang bergandingan dalam Skuad A di sebelah pagi, ketinggalan 13 pin untuk sekadar akur dengan pingat perak menerusi 2,803 jatuhan pin.

Pingat gangsa milik Annop Arromsaranon-Yanee Saebe dari Thailand dengan jumlah jatuhan pin 2,769.

Tidak menunggu lama untuk merampas kedudukan Alex Liew-Shalin Zulkifli, Muhammad Rafiq dan Li Jane mula bangkit dari set kedua dengan mempamerkan rentak konsisten sehingga akhir permainan.

"Rafiq menyampaikan mesej mengenai markah Alex dan Shalin tetapi kami memberi semangat antara satu sama lain dan berjaya mendapat markah yang lebih baik," kata Li Jane yang pertama kali digandingkan dengan Muhammad Rafiq, selepas majlis penyampaian pingat.

Bagi Muhammad Rafiq, walaupun sedikit tertekan untuk memintas mata tertinggi Skuad A namun bermain di sebelah petang memberi kelebihan untuknya dan Li Jane meletakkan sasaran dan mengatur langkah lebih baik untuk menang.

Sementara itu, pemain veteran Shalin berkata beliau bangga memenangi perak buat negara selain emas yang dimenangi rakan senegara.

Ini adalah emas ketiga yang disumbangkan kem boling negara selepas menjuarai acara individu lelaki dan beregu lelaki.

-- BERNAMA