•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Filipina, Vietnam Ungguli Pentas Lawan Pedang


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Filipina dan Vietnam hari ini mengungguli acara lawan pedang Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) hari ini dengan masing-masing memperoleh pingat emas kategori foil individu lelaki dan epee individu wanita.

Brennan Wayne Louie dari Filipina menewaskan rakan senegaranya Nathaniel Perez pada perlawanan akhir dengan pungutan mata 15-14.

Peserta Singapura, Jet Ng Shang Fei dan Sopanut Mayakarn dari Thailand berkongsi pingat gangsa.

Bagi acara epee individu wanita, Nguyen Thi Nhu Hoa dari Vietnam menewaskan Hanniel Abella dari Filipina pada perlawanan akhir dengan pungutan mata 15-10.

Pingat gangsa dikongsi bersama atlet Filipina, Harlene Raguin dari Filipina dan Nguyen Thi Quyen dari Vietnam.

Tiga atlet Malaysia pula kecundang pada peringkat suku akhir bagi kedua-dua acara itu.

Bagi kategori foil individu lelaki, Cheng Xin Hang tewas 15-10 kepada Sopanut dan Hans Yoong Wei Shen tumpas 9-15 di tangan Brennan.

Che Ku Nur Aida Che Ku Rahim pula tewas 15-14 ke atas Nguyen Thi Nhu Hoa bagi kategori epee individu wanita, manakala Yap Jing Xuan tersingkir pada pusingan kelayakan.

Ketika ditemui pemberita Che Ku Nur Aida, 27 berkata kecederaan lutut kirinya menjadi faktor kegagalannya untuk beraksi cemerlang.

Beliau yang menyepi hampir 10 tahun selepas menyertai Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand, hanya berlatih selama dua bulan bagi menghadapi KL2017 berikutan kekangan kerja sebagai pegawai belia dan sukan di Universiti Malaysia Kelantan.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana layak ke suku akhir walaupun hampir 10 tahun saya meninggalkan sukan ini,\" kata pemegang pingat emas Kejohanan Lawan Pedang Kebangsaan 2017 itu.

-- BERNAMA