•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Thailand Teruskan Penguasaan Dalam Sepak Takraw


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Skuad sepak takraw Thailand mengutip pingat emas acara beregu berpasukan lelaki setelah menewaskan Myanmar 2-0 pada aksi final di Stadium Tertutup Titiwangsa hari ini.

Setelah cemerlang memungut emas dalam acara regu berpasukan pada Ahad, anak buah Kamol Tankimhong turun beraksi bagai seekor serigala yang lapar pada perlawanan akhir menentang Myanmar.

Beregu pertama Thailand yang diwakili Seksan Tubtong dan Treepong Rawangpai bermula baik apabila menang set pertama 21-17 namun sedikit goyah pada set kedua yang menyaksikan mereka tunduk 10-21 kepada beregu Myanmar.

Set ketiga berlangsung dengan sengit apabila kedua-dua beregu cuba untuk mempamerkan kehebatan masing-masing namun Thailand lebih pandai mengambil peluang untuk menang 21-18 dan mendahului 1-0.

Myanmar yang perlu menang pada beregu kedua bermula dengan garang apabila berjaya menewaskan Thailand pada set pertama dengan 21-18.

Namun Thailand tidak cepat melatah apabila bangkit untuk memenangi dua set berikutnya dengan mata 23-21 dan 21-14 untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas acara itu.

Skuad negara yang tewas kepada Myanmar 1-2 pada saingan separuh akhir terpaksa berpuas hati untuk meraih pingat gangsa yang dikongsi bersama Indonesia.

Indonesia turut tewas 0-2 kepada Thailand pada satu lagi aksi separuh akhir.

-- BERNAMA