•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Malaysia Rangkul Dua Emas Hari Terakhir Wushu


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Skuad wushu Malaysia hari ini merangkul dua lagi pingat emas pada hari ketiga iaitu hari terakhir wushu, pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Awal hari ini, atlet Malaysia Ho Mun Hua berjaya mengumpul 9.67 mata untuk menewaskan peserta Vietnam Pham Quoc Khanh yang meraih pingat perak dengan 9.66 mata bagi kategori nanquan lelaki di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Pingat gangsa diraih atlet Brunei Md Sufi Shayiran Roslan dengan 9.65 mata.

Bagi acara taijiquan lelaki, Loh Jack Chang merangkul emas selepas mengumpul 9.66 mata manakala Samuel Tan Wei Han dari Singapura meraih perak dengan 9.52 mata dan pingat gangsa dimiliki Khant Min Htet dari Myanmar dengan 9.36 mata.

Bagi kategori nandao/nangun wanita, Juwita Niza Wasni dari Indonesia merangkul emas dengan catatan 19.29 mata manakala Nguy Thuy Linh dari Vietnam meraih perak dengan 19.25 mata dan rakan senegara Nguyen Thuc Anh memperoleh pingat gangsa dengan 18.77 mata.

Pada acara seterusnya, skuad wushu Malaysia tidak bernasib baik, gagal memperoleh sebarang pingat.

Acara petang ini menyaksikan peserta Filipina Agatha Chrystenzen Fernandez Wong meraih pingat emas bagi kategori taijiquan wanita manakala jowen Lim Si Wei dari Singapura merangkul pingat emas bagi kategori changquan lelaki.

Peserta Myanmar Myat Thet Hsu Wai Phyo merangkul emas kategori changquan wanita.

Jurulatih pasukan Malaysia Lim Yew Fai berkata beliau gembira kerana skuad kebangsaan telah mencapai sasaran enam pingat emas dalam pertandingan tiga hari itu.

"Keseluruhannya saya fikir, mereka melakukan kesilapan yang minimum dan dalam kebanyakan persembahan, atlet kita tetap tenang walaupun menghadapi tekanan selaku tuan rumah. Aksi mereka di atas lantai sama seperti rutin latihan kami, tiada tekanan terhadap mereka."

"Nasib tidak menyebelahi kami kerana tidak mendapat sebarang pingat pada sesi petang tetapi itulah adat pertandingan, kadangkala kita menang, dan ada masanya kita kalah, apa yang penting sekarang, kita terus memandang ke hadapan, untuk menghadapi perlawanan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas acara itu.

Enam pingat emas dipertaruhkan di gelanggang wushu hari ini dengan tiga di sebelah pagi dan tiga pada sesi petang.

-- BERNAMA