•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Emas Optimist Berpasukan Milik Malaysia


Oleh Hamdan Ismail

LANGKAWI, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia mengulangi kejayaan di Sukan SEA lepas di Singapura apabila berjaya memenangi pingat emas kategori Optimist Berpasukan acara perahu layar di sini.

Kemenangan diperoleh barisan pelayar muda Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali, Muhammad Fauzi Kaman Shah, Nor Nabila Natasha Mohd Nazri dan Nurul Shazwanie Mohd Saad setelah menewaskan pasukan Thailand 2-1 dalam pertandingan akhir hari ini.

Kejayaan ini sedikit sebanyak mengubati kedukaan pasukan negara yang terlepas peluang untuk meraih pingat emas dalam kategori Laser Standard Berpasukan dan Laser Radial Berpasukan.

Dalam kategori Laser Standard Berpasukan, Malaysia terpaksa berpuas hati dengan kedudukan pingat perak selepas tewas kepada Singapura 0-2 dalam pertandingan akhir, sementara pingat gangsa dimenangi Thailand.

Perjuangan pasukan Malaysia dalam Laser Radial Berpasukan berakhir semalam dengan memperolehi pingat gangsa sahaja setelah tewas kepada Thailand dan Singapura di peringkat round robin yang menyaksikan hanya tiga negara itu bertanding.

Thailand kemudiannya telah menewaskan Singapura 2-0 dalam saingan mendapatkan pingat emas untuk kategori itu.

Selain kategori berpasukan ini, 11 lagi pingat emas masih lagi dalam buruan untuk acara pelayaran Sukan SEA kali ini yang akan berlangsung sehingga 29 Ogos.

Perlumbaan-perlumbaan pusingan awal untuk kategori-kategori International 470 dan International 420 lelaki dan wanita turut bermula hari ini dan peringkat akhir akan diadakan pada 27 Ogos ini.

Kedua-dua kategori ini melibatkan penyertaan 20 atlet dari enam negara.

Dua belas atlet akan beraksi untuk kategori luncur layar lelaki dan wanita bermula esok dan akan berlangsung sehingga 28 Ogos ini.

Lima lagi kategori acara layar individu yang akan dipertandingkan bermula Khamis sehingga 29 Ogos ini adalah Optimist Lelaki, Optimist Wanita, Laser Standard, Laser Radial Lelaki dan Laser Radial Wanita

-- BERNAMA