•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Gah Dengan 35 Emas Dan Terus Mengira


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Atlet Malaysia sukar digugat sebaik sahaja mereka memulakan permburuan pingat emas pada hari ketiga Sukan SEA Ke-29, memenangi 11 lagi menjelang lewat tengah hari dengan tiga emas menerusi gimnastik dan dua daripada wushu hasil aksi menakjubkan.

Tuan rumah terus menguasai pungutan pingat dengan 35 emas, 23 perak dan 16 gangsa, jauh meninggalkan Singapura di tempat kedua dengan 15 emas, Indonesia dan Vietnam masing-masing 10 emas, Thailand tujuh emas, Filipina enam emas dan Myanmar tiga emas.

Malaysia memulakan penguasaan hari ini dalam olahraga menerusi Muhammad Irfan Shamsuddin yang mengoyakkan bajunya tanda terlalu gembira mengekalkan pingat emas dalam acara lempar cakera lelaki, selepas beberapa pelari pecut negara melayakkan diri ke final malam ini diketuai Khairul Hafiz Jantan yang mencatatkan mata terpantas 10.34s dalam 100m separuh akhir.

Jonathan Nyepa akan menyertai Khairul dalam final acara pecut itu pada 9.40 malam ini untuk bersaing dengan juara bertahan daripada Filipina Eric Cray dengan catatan masa 10.58s dan pemenang sebelum ini Jirapong Meenapra daripada Thailand dengan masa 10.46s.

Ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli dan Siti Fatima Mohamad turut mara ke final dengan juara bertahan Shanti Pereira daripada Singapura membuktikan kehandalannya dengan masa terpantas 11.73s di separuh akhir.

Mengejutkan apabila acara gelang roman menyumbang dua emas menerusi juara Sukma yang membuat penampilan pertama kali pada temasya ini Tan Fu Jie, dan Jeremiah Loo yang menamatkan kemarau 10 tahun tanpa emas pasukan lelaki Malaysia manakala dalam acara melombol wanita pemenang pingat perak Sukan SEA Singapura Tan Ing Yueh merangkul emas dan Tracie Ang meraih gangsa untuk negara.

Kali terakhir Malaysia meraih emas acara gimnastik lelaki pada 2007 menerusi Ooi Wei Sian dalam acara palang tunggal dan di Singapura dua tahun lepas, Loo merupakan peserta tunggal dalam pasukan meraih perak juga dalam acara sama.

Dalam wushu, veteran Loh Jack Chang menjadi atlet kedua selepas Yeap Wai Kin memenangi dua pingat menerusi aksi mengagumkan untuk mempertahankan emas acara Taijiquan selepas menjulang gelaran acara Taijijian pada Ahad.

Empat emas lagi dituai oleh pasukan berbasikal lelaki dalam acara Ujian Masa Berpasukan, pasukan ekuestrian dalam acara dressage, penembak Alia Sazana Azahari dalam 25m pistol wanita dan dalam karate menerusi Celine Lee dan Lim Chee Wei dalam acara Kata wanita dan lelaki.

Alia mempertahankan pingat emas temasya dengan mengumpul 31 mata yang menurutnya kejayaan itu adalah tuah atas kehadiran ibu dan adik beradiknya yang datang dari Terengganu semata-mata untuk memberi kejutan dan sokongan kepadanya di Lapang Sasar Menembak Nasional di Subang.

"Pertama sekali, saya bersyukur kepada Allah S.W.T yang merahmati saya pada hari ini dengan cuaca baik dan keduanya kepada ibu, adik beradik saya dan penyokong dari Terengganu serta rakan sepasukan saya Joseline Cheah dan Bibiana Ng yang banyak membantu saya semasa latihan," katanya.

Pasukan menembak menamatkan kempen mereka dengan meraih perak dalam acara recurve berpasukan campuran menerusi Khairul Anuar Mohamad dan Nur Aliya Ghapar. Secara keseluruhannya mereka memenangi lima emas ? tiga daripada acara compound dan dua daripada acara recurve ? serta tiga perak dan dua gangsa.

-- BERNAMA