•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Thailand Cerahkan Peluang Ke Pusingan Separuh Akhir Bola Sepak Lelaki


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Juara bertahan, Thailand terus mencerahkan peluang mara ke saingan separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menewaskan Filipina 2-0 dalam aksi keempat kumpulan B di Stadium Selayang, hari ini.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad 'Gajah Putih' itu berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah setelah mengharungi empat perlawanan untuk mengumpul 10 mata.

Vietnam dan Indonesia yang akan beraksi malam ini, kini di kedudukan kedua (Vietnam - sembilan mata) dan Indonesia di tempat ketiga (tujuh mata).

Dua gol Thailand hadir pada separuh masa pertama permainan menerusi Montree Promsawat pada minit ke-28 diikuti Sittichok Kannoo pasa masa kecederaan untuk memastikan Thailand mengutip tiga mata berharga.

Bagaimanapun, Filipina yang tewas dalam dua aksi terakhir sebelum ini terlebih dahulu hampir membuka jaringan pada minit ke-25 apabila penyerang Javier Augustine Gayoso bijak menyambar hantaran ke belakang pertahanan Thailand, namun rembatannya hanya sekadar terkena tiang.

Thailand akan menentang Vietnam dalam aksi terakhir kumpulan B pada Khamis.

-- BERNAMA