•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Irfan Hadiahkan Emas Pertama Olahraga



KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin menepati ramalan untuk mempertahankan pingat emas, sekali gus menghadiahkan emas pertama olahraga Sukan SEA ke-29 di Stadium Nasional, hari ini.

Walaupun kecewa tidak dapat memecahkan rekod Sukan SEA dengan melakukan catatan peribadinya akibat kecederaan, atlet berusia 22 tahun itu berpuas hati dengan lemparan sejauh 58.36m pada percubaan ketiga untuk mendapatkan hatrik emas selepas memperolehnya pada edisi 2015 di Singapura dan 2013 di Myanmar.

Atlet berusia 22 tahun dari Negeri Sembilan itu mencatatkan catatan peribadi terbaiknya dengan memperbaharui merupakan rekod kebangsaan dengan lemparan sejauh 62.55m di Kejohanan Olahraga Austrian Top Meeting 2017 pada Mei.

Namun kecederaan yang dialami menyebabkan beliau tidak dapat menunjukkan prestasi sebenarnya untuk memecahkan rekod Sukan SEA 59.50m dicipta 18 tahun lepas di Brunei oleh Wong Tuck Yim daripada Singapura.

"Sangat-sangat sakit akibat kecederaan di bawah belakang tubuh and buku lali kiri, tapi Alhamdulillah dapat beraksi kerana mental kuat. Permulaan pertama saya dah rasa kaki saya, saya fokus balik, letak krim di kaki semua, tetapkan balik saya punya rentak, dan Alhamdulillah dapat juga sekurang-kurangnya 58.36m," katanya kepada pemberita selepas selesai pertandingan berkenaan.

Pada acara yang hanya disertai oleh tiga peserta, pingat perak dimenangi oleh Narong Benjaroon dari Thailand dengan lemparan 50.65m, manakala gangsa turut menjadi milik Malaysia menerusi Abdul Rahman Lee (44.80m).

Muhammad Irfan berkata keadaan cuaca yang panas hari ini turut memberi kesan kepada prestasinya, kerana sebelum ini majoriti pertandingan disertainya melibatkan negara-negara di Eropah.

Katanya, temasya sukan kali ketiga yang disertainya ini juga merupakan pemanas badan bagi penyertaannya di Sukan Universiti Dunia 2017 di Taipei, Taiwan.

-- BERNAMA