•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Kemenangan Pertama Vietnam Dalam Futsal


SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Vietnam mencatatkan kemenangan pertama dalam acara futsal lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila membenam Myanmar 6-1 di Kompleks Sukan Panasonic di si hari ini.

Skuad kendalian ketua jurulatih Miguel Jose Rodrigo Conde Salazar itu turun dengan penuh bersemangat untuk mengutip mata penuh apabila membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi kaptennya, Tran Van Vu.

Pada minit ke-17, Vietnam menambah gol kedua menerusi pemain tengah Tran Thai Huy pada babak pertama sebelum kembali dengan aksi lebih mantap pada babak kedua.

Vietnam menguasai perlawanan untuk menambah jaringan menerusi dua gol oleh pemain gantian, Ngo Ngoc Son pada minit ke-24 dan ke-25 serta gol Nguyen Thanh Dat pada min it ke-32 sebelum Nguyen mencipta hatrik pada minit ke-33.

Myanmar di bawah bimbingan Rez Kordi berjaya memperoleh gol tunggal menerusi pemain pertahanan Pyae Phyo Maung ketika perlawanan berbaki satu minit.

Vietnam, yang sebelum ini tewas 4-1 kepada juara bertahan, Thailand dan seri 1-1 dengan Malaysia, mempunyai baki satu lagi perlawanan menentang Indonesia, Jumaat ini.

Myanmar, yang tewas 5-4 kepada Malaysia dalam aksi pembukaan liga sepusingan itu, akan menentang Thailand, Jumaat ini dan Indonesia, Ahad ini.

-- BERNAMA