•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Khairul, Jonathan Tempah Tiket Final 100m


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Raja pecut negara Khairul Hafiz Jantan mara ke final acara 100m lelaki Sukan SEA, selepas memenangi separuh akhir kedua dengan catatan 10.34s di Stadium Nasional di sini, hari ini.

Turut meraih slot ke saingan akhir ialah rakan senegaranya, Jonathan Nyepa yang mencatatkan 10.60s untuk meraih tempat kedua separuh akhir pertama di belakang juara bertahan dan jaguh pecut Filipina Eric Cray yang mencatatkan 10.58s.

Turut menempah tiket ke final ialah juara 2013 Jirapong Meenapra daripada Thailand yang mencatatkan 10.46s, Iswandi daripada Indonesia (10.56s) dan Kritsada Namsuwan daripada Thailand (10.64s).

Bagi kategori wanita, ratu pecut Zaidatul Husniah Zulkifli dan Siti Fatimah Mohamad turut mara ke final selepas masing-masing mencatatkan 11.61s dan 11.80s pada separuh akhir kedua dan pertama.

Sementara itu, ratu pecut Singapura Shanti Pereira layak ke final selepas memperbaharui rekod kebangsaan dengan catatan 11.73s, berbanding rekod lamanya, 11.80s.

Turut layak ke final ialah Le Tu Chinh (11.49s) dan Le Thi Mong Tuyen (11.82s) daripada Vietnam serta Supawan Thipat daripada Thailand (11.87s).

Final acara wanita dijadualkan pada pukul 9.30 malam ini, diikuti acara lelaki pada 9.40 malam.



-- BERNAMA