•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Tambah Satu Emas, Satu Perak Hari Kedua Menembak KL2017


PETALING JAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Malaysia sekadar menambah satu pingat emas dan satu perak pada hari kedua acara menembak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Lapang Sasar Menembak Nasional di Subang, dekat sini, hari ini.

Penembak elit negara, Alia Sazana Azahari menyumbang pingat emas tunggal selepas membidik 31 mata dalam pusingan penyingkiran, sekali gus mengetepikan cabaran dua penembak Singapura, Teh Xiu Hong dan Nicole Tan Ling Chiao yang terpaksa berpuashati dengan pingat perak dan gangsa, masing-masing dengan kutipan 28 mata dan 23 mata.

Penembak Olimpik negara, Johnathan Wong Guanjie pula sekadar meraih pingat perak dalam acara 50m pistol lelaki dengan jumlah bidikan 223.5 mata, sekali gus memperbaiki pencapaian pingat gangsa yang diraih pada Sukan SEA 2015 di Singapura.

Pingat emas dimenangi oleh penembak Thailand, Natphanlert Auapinyakul yang melakar rekod baharu Sukan SEA iaitu 225.2 mata manakala Kyaw Swar Win dari Myanmar terpaksa berpuashati dengan pingat gangsa selepas mencatat 205.2 mata.

Juara bertahan yang juga pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Hoang Xuan Vinh dari Vietnam mempamerkan aksi mengecewakan selepas tersingkir seawal pusingan kedua dengan catatan 104.6 mata, sekali gus meletakkan beliau di tangga tercorot daripada lapan peserta.

Dalam pada itu, faktor kegugupan nyata menghantui seorang lagi wakil negara, Muhd Ezuan Nasir Khan yang menduduki tangga terakhir daripada lapan peserta dalam acara 10m air rifle lelaki dengan kutipan 118.7 mata.

Penembak Indonesia, Muhd Naufal Mahardika mencipta kejutan selepas membidik emas dengan catatan rekod baharu Sukan SEA iaitu 245.4 mata, disusuli Mohamad Irwan Abdul Rahman dari Singapura (perak) dengan jumlah bidikan 241.8 mata manakala pemenang pingat perak Sukan SEA 2015, Napis Tortungpanich dari Thailand terpaksa berpuashati dengan kutipan pingat gangsa dengan catatan 222.2 mata.

Muhd Ezuan yang ditemui Bernama selepas acara berkenaan, bagaimanapun tidak kecewa dengan kegagalan tersebut sambil berikrar memberikan persembahan terbaik dalam acara kedua yang disertainya iaitu 50m rifle prone, esok.

"Saya dah cuba sehabis baik dan gunakan segala ilmu yang ada tapi mungkin nasib tidak menyebelahi saya pada hari ini tapi saya reda dan saya akan usaha beri yang terbaik," kata anggota Tentera Laut Diraja Malaysia itu.

Sementara itu, jurulatih kebangsaan, Mohd Sabki Mohd Din berpuashati dengan kejayaan satu emas dan satu perak, dan yakin skuad negara akan tampil lebih cemerlang pada hari ketiga, esok.

"Alhamdulillah, semalam kita dapat satu emas dan hari ini dapat tambahan satu emas, jadi saya harap esok kita akan dapat pingat emas lagi.

"Untuk Muhd Ezuan, saya lihat beliau bermula dengan perlahan selain tertekan namun saya harap beliau dapat jadikan kekecewaan ini sebagai satu pembakar semangat untuk acara keduanya, esok," kata Mohd Sabki.

Empat emas menjadi rebutan pada hari ketiga, esok iaitu 10m air rifle wanita, skeet lelaki, 50m rifle prone lelaki dan 25m rapid fire pistol lelaki.

-- BERNAMA