•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Pertahan Emas Kerana Tuah Ibu - Alia


PETALING JAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Penembak negara , Alia Sazana Azahari berjaya mengatasi cabaran hebat dua penembak Singapura untuk mempertahankan pingat emas acara 25m pistol wanita pada hari kedua pertandingan acara menembak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Lapang Sasar Menembak Nasional di Subang, di sini, hari ini.

Pemenang pingat emas pada Sukan SEA Singapura 2015 itu mengumpul 31 mata dalam pusingan penyingkiran untuk mencipta rekod baharu Sukan SEA, mengalahkan Teh Xiu Hong dan Nicole Tan Ling Chiao untuk perak dan gangsa dengan masing-masing mengumpul 28 mata dan 23 mata.

Bercakap kepada pemberita, Alia Sazana yang menitiskan air mata gembira atas kejayaan mempertahankan pingat emas itu mendedikasikan pencapaian cemerlangnya itu kepada ibunya Saydah Salleh dan beberapa penembak remaja yang datang dari Terengganu untuk memberi sokongan kepadanya.

"Pertama sekali, saya bersyukur kepada Allah S.W.T yang merahmati saya pada hari ini dengan cuaca baik dan keduanya kepada ibu, adik beradik saya dan penyokong dari Terengganu serta rakan sepasukan saya Joseline Cheah dan Bibiana Ng yang banyak membantu saya semasa latihan.

"Sebelum ini saya beritahu ibu saya supaya jangan beritahu saya jika mahu datang dan beliau memberi kejutan kepada saya hari ini dan saya minta Joseline bercakap dengan ibu saya bagaimana untuk datang ke lapang sasar ini... saya juga berterima kasih kepada adik-adik lelaki saya yang sanggup tidak ke sekolah untuk memberi sokongan kepada saya," kata Alia Sazana.

Dalam pada itu, Saydah memaklumkan beliau tiba dengan penerbangan di Kuala Lumpur semalam dari Kuala Terengganu semata-mata untuk memberikan sokongan kepada anaknya itu.

"Makcik bersyukur dengan kejayaan Alia sebab dia seorang anak yang sangat baik dan sangat berdisiplin dengan adik beradik dan juga kawan-kawan malahan dia tak pernah buat keluarga bersedih, walaupun kita lihat Alia dari luaran amat ganas sebab saiz badan dia yang agak besar," katanya.

-- BERNAMA