•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Sukan SEA: Aneh Tapi Benar


Oleh R Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pasukan hoki dalam dewan wanita Filipina bagi Sukan SEA hanya ditubuhkan enam bulan lepas dan ia dianggotai oleh atlet daripada sukan berlainan.

Pemain adalah daripada olahraga, bola sepak, taekwondo dan lapan daripada bola tampar dan hanya digandingkan enam bulan lepas yang memerlukan mereka berlatih empat hingga lima jam sehari dan kini bersaing dengan pemain terbaik rantau ini apabila hoki dalam dewan dianjurkan buat julung kali pada Sukan SEA.

Kebanyakan pemain yang merupakan pelajar kolej kekal bersemangat tinggi walaupun dibelasah 0-14 oleh Thailand dan kemudiannya 0-19 oleh Malaysia di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Bagi jurulatih Rivera Leovino, semuanya adalah untuk belajar dan menimba pengalaman dan pendedahan daripada lawan dalam sukan itu, kerana ia sesuatu yang baharu bagi mereka,

"Ini adalah pengalaman, pendedahan pertama dan juga penampilan pertama mereka dalam Sukan SEA? Ia sangat sukar. Kami hanya tahu beberapa peraturan asas. Saya perlu mendapatkan penjelasan tentang peraturan teknikal, peraturan permainan dan peraturan lain semasa mesyuarat jurulatih kerana kami tidak tahu peraturannya.

"Kebanyakan pemain ialah pelajar kolej berumur bawah 20 tahun dan hanya seorang pemain berumur 23 tahun. Bagi diri saya, saya tidak meletakkan sebarang jangkaan pada temasya ini, tetapi apa yang saya beritahu pemain saya bahawa mereka perlu belajar kemahiran baharu, sesuaikannya dan perkemaskannya," katanya kepada Bernama.

Bagi penjaga gol, Yarra Sebastian, 21, bersaing dalam Sukan SEA kali ini lebih kepada untuk belajar dan menghargai saat itu, selepas membuat penyesuaian besar, untuk menjadi pemain hoki daripada pemain bola tampar sebelumnya.

Pernah beraksi dalam kejohanan bola tampar National Collegiate Athletics Association (NCAA), Yarra menyasarkan pingat apabila Filipina menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 2019, sekiranya hoki dalam dewan dipertandingkan.

"Adalah sesuatu yang baik untuk belajar perkara baharu, untuk mengetahui keupayaan kita, melalui pengalami baharu dan kami menghargainya. Kami fokus setiap kali menjalani latihan dan kami seronok.

Hoki dan bola tampar sama-sama perlukan komunikasi dan kerja berpasukan, dan perbezaannya adalah hoki lebih bahaya, anda perlu mempunyai rakan sepasukan yang kuat dan mempunyai keazaman tinggi," katanya yang berharap untuk menjadi antara pemain penghalang terbaik di rantau ini.

Sementara itu, ketua pasukan Kristine Elaine Santos menetapkan sasaran lebih tinggi iaitu pingat emas buat negara selaku tuan rumah Sukan SEA akan datang, menerusi pengalaman pertama di Kuala Lumpur.

"Dalam hoki, kami perlu lebih lasak dan pantas, tetapi dalam bola tampar kami hanya perlu bersentuhan dengan bola. Saya hanya mula bermain dalam sukan ini enam bulan lepas dan saya menyukainya,,, saya akan bermain lebih baik di laman sendiri nanti," katanya.

Pasukan itu akan berdepan Singapura esok sebelum menamatkan perlawanan pusingan round robin menentang Indonesia pada Khamis.

Berikutan hanya lima pasukan mengambil bahagian, dua pasukan terbaik akan mara ke final manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan berentap untuk gangsa.



-- BERNAMA