•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017 Temasya Terakhir Fauzan?


NILAI, 22 Ogos (Bernama) -- Pelumba berbasikal elit negara Muhammad Fauzan Ahmad Lutif, 31, membayangkan untuk bersara selepas Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017), meskipun berjaya meraih emas dalam acara Ujian Masa Berpasukan di Dataran Nilai di sini, hari ini.

"Emas ini mungkin yang terakhir bagi saya sebelum saya bersara daripada arena kebangsaan, tengoklah bagaimana nanti, keputusan sebelum ini (bersara) macam itulah, tapi tengoklah bagaimana.

"Kalau negara masih memerlukan saya sedia berkorban,"katanya kepada pemberita selepas menerima kalungan pingat daripada Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Abdul Wahab di Dataran Nilai di sini.

Skuad negara meraih emas bagi acara sejauh 51 kilometer dengan catatan masa 1 jam 01 minit 37 saat (1:01:37) manakala perak menjadi milik Thailand dengan catatan masa 1 jam 01 minit 56 saat, iaitu perbezaan 18 saat di belakang Malaysia dan Vietnam di tempat ketiga untuk meraih gangsa dengan masa 1 jam 02 minit.

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzan yang merupakan ketua pasukan berkata keputusan untuk mengundur diri daripada sukan berbasikal dibuat disebabkan beliau merasa telah terlalu lama berada dalam arena tersebut.

"Saya mewakili negara sejak 2003, tapi tengoklah nanti keputusan macam mana? ini belum muktamad,"katanya.

Muhammad Fauzan berkata sekiranya beliau bersara daripada dunia sukan, tumpuan penuh akan diberikan kepada kerjayanya sebagai anggota polis.

-- BERNAMA