•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Demam Tidak Halang Khairul Anuar Bantu Skuad Recurve Raih Pingat


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad terpaksa berlawan dengan masalah kesihatan untuk memberikan persembahan sebaik mungkin untuk menyumbang pingat perak kepada Malaysia.

Dia yang bergandingan dengan Nur Aliya Ghapar tewas 3-5 kepada pasangan Indonesia Diananda Choirunisa dan Riau Ega Agata Salsabilla dalam peringkat akhir acara recurve campuran pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang berlangsung di Padang Sintetik Majlis Sukan Negara (MSN).

Akur dengan tuntutan untuk berjuang demi negara, Khairul Anuar tampil bersemangat dan melawan demam yang dialami sejak seminggu lepas.

Keadaan itu nyata tidak menjejaskan prestasinya untuk membantu skuad memanah negara meraih pingat satu pingat emas dan dua pingat perak, masing-masing dalam acara individu dan pasukan campuran pada edisi Sukan SEA kali ini.

Khairul Anuar, yang sudah 13 tahun bersama skuad kebangsaan berkata pencapaian dalam temasya kali ini adalah yang terbaik buat dirinya apabila berjaya mara ke peringkat akhir dalam tiga acara yang disertainya.

"Masa di latihan rasmi lagi saya sudah hilang semangat tapi dengan adanya sokongan daripada jurulatih dan rakan sepasukan yang sentiasa mengambil berat, saya gagahkan diri untuk memberikan aksi terbaik.

"Sepanjang tidak sihat, sudah tiga kali saya berjumpa doktor. Memang saya hendak buat kejutan mahu bolot ketiga-tiga pingat emas selepas mara ke final tapi rezeki saya sampai di situ sahaja kali ini,\" katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Atlet berusia 26 tahun daripada Terengganu itu turut mengucapkan tahniah kepada skuad recurve wanita yang melakar kejutan selepas berjaya menamatkan kemarau 12 tahun tanpa pingat emas acara berpasukan wanita.

Secara keseluruhannya skuad memanah menyamai rekod di Singapura dua tahun lepas iaitu lima pingat emas, tiga perak dan dua gangsa.

Selain itu prestasi pemanah negara pada edisi kali ini juga meningkat apabila lebih ramai pemanah mara ke final.

Sementara itu, Nur Aliya berkata beliau sendiri terkejut dengan prestasinya yang semakin meningkat dan berharap mampu menjadi lebih baik.

-- BERNAMA