•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Tiga Pembedahan Tidak Patah Semangat Loh Hadiah Emas Untuk Malaysia


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Kecederaan berpanjangan dialami jaguh wushu negara Loh Jack Chang sejak 2006 tidak menghalangnya mempamer aksi bertenaga untuk menyumbang dua pingat emas buat negara pada Sukan SEA 2017.

Setelah unggul menguasai acara Taijijian lelaki Ahad lalu, hari ini beliau merangkul emas kedua dalam acara Taijiquan. Atlet berusia 30 tahun itu menerusi catatan mata 9.66 mata mengetepikan cabaran atlet Singapura Samuel Tan Wei Han yang memperoleh 9.52 mata untuk perak dan Khant Min Htet daripada Myanmar yang meraih gangsa dengan 9.36 mata.

Jack Chang berkata kejayaan diraih di laman sendiri ini cukup bermakna mengenangkan beberapa siri pembedahan yang terpaksa dilaluinya pada 2006, 2010 serta 2013 akibat kecederaan 'Meniscus Tear' dan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanannya.

"Dalam tempoh setahun menjelang aksi Sukan SEA ini, lutut kanan saya mengalami sedikit masalah, namun demi memastikan misi memburu emas di KL berjaya, saya terpaksa menahan kesakitan dan berlatih seperti biasa.

"Sukan ini memerlukan saya memberikan fokus 100 peratus setiap kali beraksi, jadi saya lega ia (fokus) membantu saya supaya tidak terlalu dibuai rasa sakit sekaligus mengakhiri temasya ini dengan kenangan manis," katanya yang mempertahankan emas dimenangi pada Sukan SEA Singapura 2015 menerusi acara Taijiquan.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian pingat acara wushu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mula berjinak dalam sukan wushu ketika berumur 14 tahun, Jack Chang memberi bayangan bahawa Sukan SEA edisi ke-29 kali ini mungkin penampilan terakhirnya dalam temasya dwitahunan itu.

Katanya beliau tidak dapat memberi jaminan untuk terus beraksi dalam sukan kegemarannya itu kerana melihatkan kepada masalah kecederaan berulang dialaminya sehingga mengganggu tahap kecergasan diri.

"Buat masa ini saya mahu tumpukan pada kehidupan peribadi dan merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun hadapan," katanya.

-- BERNAMA