•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Naluri,ketepatan Masa Bantu Thanabalan Jaring Dua Gol Tewaskan Myanmar



Penyerang negara, N. Thanabalan (dua, kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada aksi Bola Sepak Kumpulan A bertemu Myanmar sempena Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium Shah Alam
KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Penyerang skuad Bawah 22 (B-22) negara, N.Thanabalan menyifatkan naluri dan ketepatan masa faktor yang menyumbang kepada dua jaringannya ketika membantu Malaysia menundukkan Myanmar 3-1 di Stadium Shah Alam Isnin malam.

Pemain berusia 22 tahun itu berkata sudah menjadi tugas seorang penyerang untuk sentiasa berada di hadapan ketika pasukan melakukan serangan dan bersedia berada di posisi yang tepat untuk menerima hantaran daripada rakan sepasukan.

"Naluri saya dan ketepatan masa. Tugas seorang penyerang adalah harus sentiasa berada di dalam kotak penalti pihak lawan ketika menyerang dan membaca permainan untuk mencari peluang menjaringkan gol," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Kemenangan ke atas Myanmar itu sekali gus mengesahkan tempat Malaysia di separuh akhir saingan bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dan membuka peluang cerah untuk menjuarai kumpulan A apabila hanya memerlukan keputusan seri pada aksi terakhir kumpulan menentang Laos, Rabu ini.

Sungguhpun sudah meledak tiga gol dalam tiga perlawanan terakhir, pemain pasukan Felcra FC berasal daripada Seremban, Negeri Sembilan itu ternyata masih belum berpuas hati dengan jumlah jaringan tersebut.

"Saya akan untuk terus buat yang terbaik untuk mengekalkan momentum ini sampai ke final dan cuba menjaringkan gol lagi jika mendapat peluang," tambahnya.

Dalam pada itu, kapten pasukan Muhammad Adib Zainudin memuji persembahan rakan sepasukannya, namun sedikit kecewa selepas gagal menghalang gawang negara daripada dibolosi Myanmar pada penghujung babak permainan.

"Kami bermain dengan begitu baik sekali dari awal, semua perancangan berjalan dengan lancar tetapi apa yang merencatkan sedikit keputusan ialah kami tidak dapat mengekalkan rekod tidak dibolosi.

"Secara peribadi saya memang rasa kecewa tetapi kesilapan memang tidak dapat dielakkan dan apa yang kami boleh buat adalah terus fokus dan kerja lebih kuat selepas ini," katanya.

Jika muncul juara kumpulan, menanti Malaysia di pusingan separuh akhir yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini adalah naib juara kumpulan B di antara Vietnam, Indonesia dan Thailand yang sedang bersaing merebut dua slot ke pusingan kalah mati itu.

-- BERNAMA