•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Berbasikal: Kembar Hadiahkan Emas Untuk Malaysia



NILAI, 22 Ogos (Bernama) -- Skuad berbasikal menghadiahkan kilauan emas kepada Malaysia dalam acara Ujian Masa Berpasukan di temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) yang berlangsung di Dataran Nilai, di sini, hari ini.

Skuad negara yang dianggotai Nik Mohd Azwan Zulkiflie, kembar seiras Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Ameen serta Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi yang bertindak selaku ketua pasukan menggungguli acara sejauh 51 kilometer dengan catatan masa 1 jam 01 minit 37 saat (1:01:37).

Perak menjadi milik Thailand dengan catatan masa 1 jam 01 minit 56 saat, iaitu perbezaan 18 saat di belakang Malaysia dan Vietnam pula terpaksa berpuas hati di tangga ketiga untuk meraih gangsa dengan masa 1 jam 02 minit.

Untuk rekod, kali terakhir pertandingan Ujian Masa Berpasukan diadakan adalah edisi ke-27 sukan dwitahunan itu di Myanmar pada 2013 dan pasukan negara meraih pingat perak.

Bagi edisi ke-28 di Singapura dua tahun lepas, acara itu tidak dipertandingkan.

Peserta sembilan negara termasuk tuan rumah Malaysia menyertai acara Ujian Masa Berpasukan.

-- BERNAMA