•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Skuad Wushu Malaysia Tuai Dua Lagi Emas


KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Atlet wushu Malaysia Ho Mun Hua dan Loh Jack Chang masing-masing memenangi emas pada hari terakhir pertandingan tiga hari acara wushu pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini.

Pada sesi pagi, Ho mengumpul 9.67 mata untuk menewaskan Pham Quoc Khanh daripada Vietnam yang memenangi perak dengan 9.66 mata dalam kategori nanquan lelaki. Pingat gangsa menjadi milik Md Sufi Shayiran Roslan daripada Brunei dengan 9.65 mata.

Dalam acara taijiquan lelaki, Loh memenangi emas selepas mengumpul 9.66 mata manakala pingat perak menjadi milik Samuel Tan Wei Han daripada Singapura dengan 9.52 mata. Atlet Myanmar Khant Min Htet memenangi gangsa dengan 9.36 mata.

Dalam kategori nandao/nangun wanita, pingat emas menjadi milik atlet Indnesia Juwita Niza Wasni selepas mengumpul 19.29 mata dan Nguy Thuy Linh daripada Vietnam meraih perak dengan 19.25 mata manakala pingat gangsa menjadi milik rakan senegaranya Nguyen Thuc Anh (18.77 mata).

Enam pingat emas menjadi rebutan dalam acara wushu hari ini - tiga pada sebelah pagi dan tiga lagi pada sesi petang.

-- BERNAMA