•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Hanya Perlu Seri Untuk Juarai Kumpulan A



SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia mengesahkan menempah slot separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila menjinakkan pendahulu kumpulan A, Myanmar, 3-1 di Stadium Shah Alam, di sini, malam.

Kemenangan itu membuka peluang cerah untuk skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee muncul juara kumpulan apabila hanya memerlukan keputusan seri pada perlawanan akhir kumpulan menentang Laos, Rabu ini.

Malaysia mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan dengan berkongsi sembilan mata dengan Myanmar yang kini menghuni tangga teratas kumpulan selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan

Beraksi di hadapan lebih 70,000 penonton, Malaysia mempamerkan keghairahan memburu gol sebaik wisel ditiupkan tetapi tersentak apabila percubaan Aung Thu sedikit tersasar di penjuru kanan pintu gol.

Tiga perubahan yang dibuat Kim Swee dalam barisan kesebelasan utama hari ini termasuk menyenaraikan penyerang N.Thanabalan ternyata membuahkan hasil selepas pemain Felcra FC itu cemerlang menjaringkan dua gol untuk memastikan Malaysia mengutip tiga mata berharga.

Gol pertama negara hadir menerusi Thanabalan yang tenang menolak masuk bola ke gawang selepas menerima hantaran rakan sepasukan dari dalam kotak penalti pada minit ke-33 untuk gol pembukaan.

Berselang dua minit kemudian, giliran pemain Johor Darul Ta'zim, Muhammad Safawi Rasid pula mencetak nama sebagai penjaring selepas dirinya yang tidak dikawal bijak membaca hantaran S.Kumaahran dari sebelah kanan untuk menanduk gol kedua negara.

Tersentak dengan dua gol tersebut, Myanmar bangkit memperkemaskan permainan dan hampir menjaringkan gol pertama minit ke-40 tetapi rembatan deras Aung Thu berjaya diselamatkan penjaga gol negara Muhammad Haziq Nadzli untuk menjadikan kedudukan kekal 2-0 sehingga rehat.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus ghairah memburu gol namun disiplin pertahanan yang tinggi dipamerkan skuad 'The White Angels' itu berjaya menyekat asakan jentera serangan skuad negara.

Serangan bertali arus yang dilancarkan skuad negara di samping kemasukan beberapa pemain gantian dimanfaatkan sepenuhnya skuad negara apabila berjaya mencipta gerakan menarik sebelum disudahkan Thanabalan yang membuat tandukan pada minit ke-86.

Bagaimanapun, Myanmar berjaya menjaringkan gol sagu hati pada masa kecederaan menerusi pemain gantian, Than Paing untuk menjadikan kedudukan 3-1 kekal, sekali gus mencalar rekod bersih Myanmar.

-- BERNAMA