•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Kalahkan Kemboja 3-0


KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia membuka kempen acara bola tampar lelaki dengan langkah kanan apabila mengalahkan Kemboja 3-0 pada perlawanan pusingan awal Kumpulan A pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di di sini, malam ini.

Malaysia, yang kali terakhir meraih pingat iaitu perak pada edisi 2001 di Kuala Lumpur, menang set pertama 25-18, 30-28 dan 25-17 pada aksi yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.

Jurulatih negara, Tay Yeu Siong berkata walaupun set pertama bermula dengan baik, namun terdapat sedikit kesilapan yang dilakukan anak didiknya pada set kedua.

"Mujur mereka pantas membetulkan keadaan dan kembali stabil pada set ketiga untuk mencapai kejayaan. Secara keseluruhannya aksi mereka memuaskan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan tersebut.

Yeu Siong menjangkakan perlawanan sengit antara Malaysia dengan Myanmar esok, memandangkan kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk menang dan seterusnya mara ke separuh akhir.

Dalam pada itu, pada perlawanan kumpulan sama, juara bertahan Thailand mengalahkan Myanmar 3-0 dengan kemenangan tiga set 25-22, 25-19 dan 29-27.

Sementara itu, dalam perlawanan Kumpulan B, Vietnam, penyandang pingat perak, menewaskan Filipina 3-0 (25-19, 25-21 dan 25-20).

Kumpulan A terdiri daripada Thailand, Malaysia, Myanmar dan Kemboja manakala pasukan dalam Kumpulan B adalah Filipina, Vietnam, Indonesia dan Timor Leste.

Selepas perlawanan peringkat kumpulan, dua pasukan teratas dalam kumpulan akan mara ke saingan separuh akhir pada 26 Ogos ini.

-- BERNAMA