•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Vietnam Jadi Mangsa Belasahan Malaysia



KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Pesta gol Malaysia berterusan apabila membelasah Vietnam 15-0 dalam aksi kedua acara hoki dalam dewan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Ternyata Vietnam bukan tandingan pasukan Malaysia, pasukan tuan membuka jaringan seawal minit kelima menerusi gol padang oleh Norsyafiq Sumantri, sebelum menamatkan separuh masa pertama dengan jaringan 7-0 tanpa memberikan ruang kepada Vietnam untuk melakukan sebarang percubaan.

Ia merupakan kemenangan kedua kepada skuad kendalian Mohd Amin Rahim, apabila memulakan saingan dengan membenam Filipina 16-0 di gelanggang sama, pagi tadi.

Mohd Shafiq Yaacob sekali lagi menjadi wira pasukan apabila menjaringkan tiga gol padang minit ke-10, 15 dan 26, selain melengkapkan pukulan sudut penalti pada minit ke-36, selepas menjaringkan empat gol pada perlawanan pertama.

"Tahap keyakinan dan momentum ini perlu dikekalkan sebelum cabaran sebenar bermula," kata Mohd Amin.

Malaysia seterusnya akan mengharungi cabaran getir menentang Thailand esok, diikuti oleh Indonesia pada hari berikutnya sebelum menamatkan saingan ? round robin' menentang Singapura, Khamis ini.

Selepas perlawanan sepusingan itu, dua pasukan teratas akan mara ke final manakala pasukan di tangga ketiga dan keempat akan beraksi pada perlawanan penentuan pingat gangsa yang dijadualkan pada Sabtu ini.

Sementara itu, skuad wanita negara turut memulakan kempen dengan membelasah pasukan Filipina 19-0 di venue yang sama.

Nur Aisyah Yaacob dan Qasidah Najwa Muhd Halimi mencuri tumpuan apabila masing-masing menjaringkan empat gol pada aksi itu.

Skuad itu akan meneruskan kempen menentang Indonesia, esok dan Thailand pada hari berikutnya sebelum melengkapkan jadual menentang Singapura pada Khamis.

Final dijadual Jumaat ini.

-- BERNAMA