•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Singapura Kutip Tiga Mata Hoki Padang Wanita


KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Singapura meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Myanmar 2-0 dalam perlawanan pertama acara hoki padang wanita Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil, malam ini.

Gol Singapura dijaringkan Nur Syaheeza Nohd Jefri pada minit ke-32 sebelum Tiffany Ong menambah jaringan pada minit ke-37.

Dalam satu lagi perlawanan hari ini menyaksikan Thailand dan Indonesia berkongsi mata selepas terikat 1-1.

Indonesia mendahului menerusi jaringan Sirikwan Wongkeaw pada minit ke-19 sebelum Indonesia menyamakan kedudukan menerusi Debie Rani pada minit ke-58.

Acara hoki padang wanita yang dipertandingkan secara round robin dalam satu kumpulan, disertai lima negara iaitu Singapura, Myanmar, Thailand, Indonesia dan tuan rumah Malaysia.

Dua pasukan teratas akan bersaing pada perlawanan penentuan pingat emas, manakala tempat ketiga dan keempat akan berentap pada perlawanan penentuan pingat gangsa.

Malaysia akan memulakan aksi pertama menentang Indonesia, esok.

Pada edisi lepas, pingat emas dimenangi Malaysia, perak (Thailand) dan Singapura (gangsa).

-- BERNAMA