•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Wushu Raih Satu Emas, Dua Perak, Tiga Gangsa


KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Skuad wushu Malaysia menamatkan hari kedua temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dengan meraih satu emas, dua perak dan tiga gangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Yeap Wai Kin mengumpul 9.68 mata untuk mengecewakan rakan senegara dan pemenang Piala Dunia Wong Weng Son yang merangkul perak dengan mata 9.65 mata dalam acara Qiangshu. Beliau juga memenangi pingat emas acara Jianshu semalam.

Mengulas mengenai prestasinya, Wai Kin berkata beliau tidak menyangka merangkul satu lagi pingat emas untuk negara, memandangkan beliau terpaksa menahan kesakitan di bahu kanannya sepanjang acara itu.

"Ia mengehadkan pergerakan saya terutama apabila saya mahu membuat pendaratan, tetapi saya bernasib baik hari ini kerana berupaya mengatasi rasa sakit itu sehingga selesai persembahan," katanya, sambil memuji penyokong yang memberi sorakan kepadanya, 'dan menaikkan semangat saya untuk melakukan yang terbaik'.

Bagi acara Qiangsu wanita, atlet Malaysia Phoon Eyin meraih pingat perak dengan catatan 9.66 mata manakala rakan senegara Khaw Jun Lim merangkul pingat gangsa dalam kategori Daoshu/Gunshu lelaki.

Kemudian, Ho Mun Hua meraih gangsa dalam kategori Nandao/Nangun dengan 19.30 mata manakala Audrey Chan Yee Jo juga merangkul gangsa apabila mengumpul 9.64 mata dalam acara Taijijian wanita.

Sejumlah enam pingat emas menjadi taruhan di gelanggang wushu hari ini.

Jurulatih pasukan lelaki, Lim Yew Fai berkata keseluruhannya beliau gembira dengan prestasi anak buahnya.

"Secara jujur, saya fikir hari ini pasukan negara melakukan lebih baik berbanding latihan mereka. Saya tidak mahu mereka memikirkan tentang pingat atau ranking tetapi sebaliknya beri yang terbaik dan itulah yang mereka lakukan hari ini," katanya kepada pemberita.

Enam pingat emas menjadi taruhan esok, hari terakhir acara wushu yang berlangsung selama tiga hari.

-- BERNAMA