•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Welson Raih Emas Dan Pecahkan Rekod Kejohanan



KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Perenang sensasi Malaysia Welson Sim meraih pingat emas sulung negara dalam acara renang di Sukan SEA ke-29 dengan penuh bergaya dalam acara gaya bebas lelaki 400m.

Perenang berusia 20 tahun itu juga memecahkan rekod Sukan SEA iaitu, 3:53.07s dengan catatan baharu 3:50.26s untuk meraih emas dalam acara gaya bebas 400m.

Welson perenang negara pertama dalam sejarah layak ke sukan Olimpik dan beliau mewakili negara dalam Sukan Olimpik Rio 2016.

Pingat perak pula menjadi milik perenang Indonesia Aflah Fadlan Prawira yang mencatat masa 3:54.15s sementara perenang Vietnam,Nguyen Huu Kim Son yang mencatat masa 3:54.20s dan membawa pulang gangsa.

Seorang lagi perenang negara Yeap Zheng Yang menamatkan pertandingan di tempat ketujuh dengan catatan 4:00.98s.

Dalam acara kuak lentang 50m, perenang Malaysia merekodkan masa 26.38s untuk berada di tempat ketujuh.

Perenang Indonesia, I Gede Siman Sudartawa memperoleh pingat emas dan mencipta rekod baharu dengan catatan 25.20s memadamkan rekod lama 25.27s yang dihasilkan perenang Singapura Quah Zheng Wen di Singapura dua tahun lepas.

Zheng Wen pula membawa pulang perak kali ini dengan catatan masa 25.39s sementara perak menjadi milik Paul Nguyen Le dari Vietnam dengan catatan 25.82s.

Dalam kuak kupu-kupu wanita 200m, perenang Singapura Quah Jing Wen yang melepasi garisan penamat dengan masa 2:12.03s memperoleh emas, sementara Vietnam menerusi wakilnya Thi My Thao Le mendapat perak dengan catatan 2:14.52s.

Gangsa menjadi milik perenang Thailand Patarawadee Kittiya dengan catatan 2:15.05s sementara bekas pemegang rekod Nguyen Thi Anh Vien dari Vietnam di tempat keempat dengan masa 2:16.61s.

-- BERNAMA