•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Beregu Wanita Gagal Pertahan Emas Tenpin Boling


PETALING JAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Beregu wanita negara gagal mengulangi kecemerlangan meraih emas pada Sukan SEA di Singapura dua tahun lepas apabila gagal membawa pulang sebarang pingat dalam acara tenpin boling dalam edisi ke-29 di Sunway Mega Lanes, di sini hari ini.

Kedudukan terbaik negara ialah melalui gandingan Shalin Zulkifli-Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman yang mencatat 2,456 jatuhan pin, untuk berada di tangga keempat, ketinggalan lapan mata di belakang gandingan Singapura yang menduduki tempat ketiga.

Pingat emas dimenangi beregu Indonesia, Sharon Adelina Liman Santoso-Tannya Roumimper dengan catatan 2,561 jatuhan pin.

Pingat perak dan gangsa masing-masing diraih beregu Singapura, Cherie Tan-New Hui Fen dan Daphne Tan-Shayna Ng dengan catatan masing-masing 2,490 dan 2,464 jatuhan pin.

Pada 2015, beregu wanita negara Sin Li Jane-Esther Cheah Mei Lan merangkul emas dengan mengumpul 2,651 jatuhan pin.

Saingan pada awalnya berpihak kepada Malaysia apabila berada di kedudukan pertama dengan 449 jatuhan pin menerusi gandingan Sin Li Jane-Esther Cheah dalam pusingan pertama permainan.

Pasangan negara itu meninggalkan gandingan Singapura, Bernice Lim-Jazreel Tan di tempat kedua dengan 427 jatuhan pin diikuti pserta Indonesia, Sharon Adelina Liman Santoso-Tannya Roumimper di tempat ketiga dengan 418 jatuhan pin.

Bagaimanapun, juara bertahan negara itu gagal mengekalkan rentak permainan baik dan terpaksa akur untuk menduduki tangga keenam daripada 17 beregu yang bertanding dalam acara itu.

-- BERNAMA