•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Syed Adam Tersingkir Kerana Layangan Kad Merah



KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Atlet lawan pedang muda negara, Syed Adam Emir Putra Syed Aidi Putra kecewa dengan keputusan pengadil memberi kad merah yang mengakbitkan beliau tersingkir awal dalam acara lelaki individu sabre pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini, hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu mendakwa kad merah itu sepatutnya diberikan kepada lawannya, peserta Singapura, Clive Leu Yi Yang sehingga menyebabkan beliau tewas tipis 15-14 mata ketika kedudukan terikat 14 sama dalam saingan pusingan 16.

Syed Adam berkata keputusan itu menutup peluang meraih pingat pada penampilan sulung temasya sukan dwitahunan itu selepas memenangi dua daripada lima pertarungan pusingan awal sebelum melangkah ke peringkat pusingan 16.

Dalam acara lawan pedang, kad kuning diberi sebagai amaran, kad merah memberi satu mata kepada pihak lawan dan kad hitam boleh menyebabkan pemain menghadapi tindakan dilarang bertanding atau digantung.

"Saya amat yakin untuk memperoleh pingat kerana saya pernah mengalahkan Clive Leu dan pemain Thailand, Voragun Srinuainad dalam perlawanan pusingan awal," katanya.

"Malangnya, pengadil telah membuat keputusan yang salah...sepatutnya kad merah itu perlu diberikan kepada pemain lawan tetapi saya menjadi mangsa kerana sebelum ini saya menerima kad kuning pada perlawanan pusingan awal," katanya.

Syed Adam berkata beliau tidak boleh membantah atau merayu kerana tiada rakaman video untuk membuktikan keraguan itu.

"Saya berlatih keras setiap hari termasuk hujung minggu sejak beberapa bulan lepas dan mengikuti latihan di China dan hari ini semua peluang tercicir begitu sahaja," katanya,

Sementara itu, jurulatih negara, Rao Bin berkata Syed Adam sepatutnya memenangi perlawanan itu tetapi keputusan silap oleh pengadil telah menjejaskan aksi tersebut.

-- BERNAMA