•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Hari Pertama Acara Trek Dan Padang Misi Penting Malaysia


Oleh R. Vikneswaran

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Acara trek dan padang Sukan SEA Ke-29 selama lima hari akan bermula esok dengan Malaysia diramalkan mampu mengatasi pencapaian tiga pingat emas pada edisi 2015 dan juga bakal menjadi hari paling penting buat jaguh pecut negara Khairul Hafiz Jantan.

Di atas kertas, pelari pecut berumur 19 tahun itu bakal dicabar juara bertahan Eric Cray daripada Filipina, pemenang edisi 2013 Jirapong Meenapra daripada Thailand, Yaspi Boby daripada Indonesia dan seorang lagi sandaran Malaysia Jonathan Nyepa untuk final 100m di Stadium Nasional dijadual esok malam.

Rekod kebangsaan 10.18s dicatatkan "The Speedy Jantan" itu pada Julai lepas adalah yang terpantas. Cray keturunan Amerika-Filipina akan mempertahankan mahkota 100m dan 400m lari berpagar dengan selang masa lebih sejam antara kedua-dua acara esok, dengan masa terpantas10.25s dicipta pada temasya 2015 manakala masa terpantas Jirapong 10.31s dicatatkan tiga tahun lepas.

Persaingan sengit bagi gelaran raja pecut itu dikatakan mampu meleburkan rekod temasya 10.17s oleh pelari Indonesia Suryo Agung Wibowo pada Sukan SEA 2009 di Vientiane. Khairul juga akan beraksi dalam 200m pada Rabu dan 4x100m pada Jumaat.

Harapan Malaysia untuk merangkul sekurang-kurangnya enam emas dalam olahraga dicerahkan dengan kejayaan komando tentera Muhaizar Mohamad memenangi gangsa acara maraton untuk menamatkan badi 44 tahun dalam acara itu.

Harapan tinggi turut disandarkan pada atlet lempar cakera Mohd Irfan Shamsuddin pada tengah hari esok dalam misi mempertahankan pingat emasnya. Rekod kebangsaan 62.55m dicatatnya jauh mengatasi rekod Sukan SEA 59.50m dicipta 18 tahun lepas di Brunei oleh Wong Tuck Yim daripada Singapura.

Bagaimanapun, kecederaan buku lali yang dialaminya beberapa hari lepas hari lepas mungkin akan mengganggu prestasinya.

"Saya meminta semua rakyat Malaysia mendoakan agar beliau mampu beraksi cemerlang. Beliau merupakan antara atlet terbaik kita yang sentiasa konsisten dalam semua pertandingan disertainya," kata pengurus pasukan Datuk Salim Parlan.

Turut menjadi tumpuan ialah Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly, atlet paralimpik pertama ditampilkan Malaysia dalam temasya ini dengan harapan kedua-duanya melakukan penyudah podium. Muhammed Ziyad menyasarkan emas dalam acara lontar peluru esok malam dan Abdul Latiff merupakan prospek pingat dalam acara lompat jauh pada Khamis.

Pada Rabu, atlet lompat kijang Muhammad Hakimi Ismail akan berdepan saingan sengit daripada atlet Filipina Mark Harry Diones yang dalam misi mempertahankan pingat emasnya. Atlet Malaysia masih berdepan dengan masalah kecederaan selama setahun sejak menang di Singapura dan catatan terbaiknya musim ini 16.61m jauh di belakang catatan atlet Flipina itu 16.70m.

Olympian Nauraj Singh Randhawa disandarkan untuk mengekalkan mahkota acara lompat tinggi dengan jangkaan mampu melakukan catatan lebih baik daripada rekod temasya berdasarkan rekod terbaik peribadinya dan rekod kebangsaan 2.30m jauh meninggalkan rekod 2.24m dicipta rakan senegara Loo Kum Zee pada 1995 di Chiang Mai.

Malaysia boleh menjangkakan penyudah di tempat pertama dan kedua dalam acara lompat tinggi lelaki berikutan tahap kecergasan juara tiga kali Lee Hup Wei kini telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan untuk mengatasi pencapaiannya 2.20m.

Pemenang lima pingat emas Sukan SEA Yuan Yufang yang membuat kemunculan semula pada temasya kali ini selepas bersara pada 2007 turut mencerahkan harapan untuk emas dalam 10,000m acara jalan kaki wanita pada Rabu.

Pasukan negara turut menyandarkan harapan pada ratu pecut Zaidatul Husniah Zulkifli dalam 100m wanita esok, atlet baling tukul besi Jackie Wong dan Grace Wong Xiu Wei dalam acara lelaki dan wanita, serta Rayzam Shah Wan Sofian dalam 110m lari berpagar lelaki.

Atlet remaja Noor Shahidatun Nadia Zuki dan R. Kirthana, yang beraksi dalam Kejohanan Remaja Dunia 2016 di Poland, turut mempunyai peluang cerah dalam acara lompat kijang dan lompat jauh wanita.

-- BERNAMA