•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Vietnam, Singapura Ulangi Kejayaan 2015


KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Acara lawan pedang Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur (KL2017) yang membuka tirai hari ini menyaksikan Vietnam dan Singapura mempertahan pingat emas, masing-masing bagi kategori sabre individu lelaki dan foil individu wanita.

Vietnam melalui Vu Thanh An yang juga pemegang pingat emas edisi 2015, mengatasi pemegang pingat perak Voragun Srinualnad dari Thailand dengan catatan mata 15-6 dalam kategori sabre individu lelaki.

Perlawanan bagi kategori itu juga menyaksikan peserta dari Singapura, Ahmad Huzaifah Saharudin dan peserta Vietnam, Nguyen Xuan Loi berkongsi pingat gangsa selepas dikalahkan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir.

Bagi kategori foil individu wanita pula, peserta Singapura, Amita Marie Nicolette Berthier berjaya menewaskan Samantha Kyle Catantan dari Filipina untuk mempertahankan pingat emas dengan catatan mata 15-7.

Kategori itu juga menyaksikan Maxine Isabel Esteban dari Filipina dan Nicole Mae Wong Hui Shan dari Singapura berkongsi pingat gangsa.

Ketika ditemui pemberita selepas perlawanan, Vu berkata beliau sentiasa mengingatkan dirinya yang memikul tanggungjawab membawa bendera negaranya ke podium juara.

"Ini bermakna saya membawa harapan seluruh rakyat Vietnam ke Kuala Lumpur untuk mengulangi kejayaan dua tahun lepas di Singapura," katanya seperti yang diterjemahkan oleh pegawai bertugas.

Bagi Amita, 16, yang julung kali menyertai temasya sukan itu, penglibatannya sebagai sukarelawan pada Sukan SEA di Singapura 2015 menjadi inspirasi untuk mencapai kejayaan hari ini.

Terdahulu, peserta Malaysia bagi acara sabre individu lelaki Syed Adam Emir Putra Syed Aidi Putra terkandas pada peringkat kalah mati selepas tewas 14-15 kepada Leu Yi Yang dari Singapura, manakala Ahmad Syukran Mohd Shahir pula tersingkir pada pusingan kelayakan.

Bagi kategori foil individu wanita pula, peserta Malaysia Natasha Ezzra Abu Bakar tewas 12-15 di tangan Maxine Isabel Esteban dari Filipina pada suku akhir, manakala Fong Tyanne tersingkir pada pusingan kelayakan.

-- BERNAMA