•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Skuad Boling Padang Negara Sedia Hadapi Pasukan Lawan


KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- "Jangan pandang rendah pasukan lawan, jangan selesa dengan pencapaian sedia ada," itu antara pesanan yang sering diingatkan kepada atlet boling padang negara, kata pengurus skuad itu Abd Hadi Abdul Rasip.

Menurutnya, pesanan itu sebagai peringatan agar kesemua pemain tidak hanya selesa dengan pencapaian sedia ada berikutan pencapaian cemerlang pada kejohanan pra Sukan SEA bulan lepas.

Skuad negara mengutip enam daripada lapan pingat emas dipertandingkan selain membawa pulang lima pingat perak dan tiga gangsa menerusi perlawanan tersebut .

"Kata-kata ini sebagai pendorong kepada pemain agar sentiasa berada dalam landasan ke arah sasaran untuk sumbang empat pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) ini.

"Sehingga kini saya puas hati dengan tahap latihan, mental, fizikal dan kesihatan atlet kita," katanya selepas sesi latihan di Pusat Boling Padang Kebangsaan, Bukit Kiara, di sini hari ini.

Pemain dalam acara 'fours', Daeng Dhadyry Dahasry memandang positif sasaran empat pingat emas untuk kedua-dua acara 'pairs' dan 'fours' lelaki dan wanita sebagai mengangkat martabat sukan itu yang dilihat belum dikenali dalam kalangan masyarakat.

"Ini tahun kelapan saya dalam dunia boling padang dan perjalanan saya masih jauh dalam bidang ini," kata pemenang pingat emas dan gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 menerusi acara 'fours' dan 'single' itu.

Harapan sama turut disuarakan Nur Fidrah Noh yang juga pemain acara 'fours' yang berharap kejayaan skuad mereka kelak sekali gus akan mempopularkan acara tersebut di negara ini.

Bagi acara 'fours' lelaki, Daeng Dhadyry digandingkan dengan Izzat Shameer Dzulkeple, Safuan Said dan Zulhilmie Redzuan, manakala acara 'fours' wanita pula, Nur Fidrah bergandingan dengan Nor Hashimah Ismail, Nur Ain Nabilah Tarmizi dan Nurul Alyani Jamil.

Malaysia menyasarkan empat pingat emas bagi kedua-dua acara 'pairs' dan 'fours' lelaki dan wanita daripada empat acara yang dipertandingkan iaitu 'single' (lelaki dan wanita), 'pairs' (lelaki dan wanita), triples (lelaki dan wanita) serta 'forths' (lelaki dan wanita).

Selain tuan rumah, acara boling padang yang mengikut format \'round robin\' itu akan bermula esok sehingga 27 Ogos ini turut disertai Brunei, Filipina, Thailand dan Singapura.

Kali terakhir boling padang dipertandingkan di Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand dengan Malaysia membawa pulang empat daripada enam emas yang dipertandingkan.

Sebelum itu, pada edisi 2005 di Manila, Malaysia merangkul tiga pingat emas.

-- BERNAMA