•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Pelayar Negara Kuasai Acara Optimist


Oleh Hamdan Ismail

LANGKAWI, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia bagaikan sudah memberikan petanda sinar pingat emas dalam acara Optimist berpasukan apabila menduduki tempat pertama selepas memenangi enam perlumbaan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini, hari ini.

Selepas dua pusingan, kombinasi Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, Nurul Shazwanie Mohd Saad, Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali dan Muhammad Fauzi Kaman Shah mendahului saingan dengan Thailand di tangga kedua diikuti Singapura dan Myanmar,

Pencapaian itu membolehkan Malaysia bertemu dengan Myanmar di peringkat separuh akhir esok.

Sementara itu, Malaysia hanya mampu meraih pingat gangsa dalam kategori Laser Radial berpasukan selepas menamatkan dua pusingan perlumbaan itu di belakang Singapura dan Thailand.

Singapura yang mengungguli kategori itu selepas dua pusingan dan mengumpul tiga mata akan bertemu Thailand dalam pertandingan akhir esok.

Sementara itu, saingan masih lagi terbuka bagi acara Laser Standard di mana pasukan Singapura mendahului dengan tiga mata namun diikuti rapat oleh Malaysia dengan dua mata dan Thailand mengumpul satu mata.

Acara tersebut menyaksikan pertembungan pelayar Sukan Olimpik Rio 2016 Khairulnizam Mohd Affendy dari Malaysia dan pelayar Thailand, Keerati Bualong.

Ketiga-tiga pasukan ini masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dalam pertandingan akhir esok untuk mengesahkan warna pingat.

Dalam pada itu, acara perahyu layar KL2017 esok akan menyaksikan acara International 470 dan 420.

-- BERNAMA