•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




KL2017: Laos Raih Kemenangan Pertama, Benam Brunei 3-0


PETALING JAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Laos akhirnya berjaya mencatat kemenangan sulung dalam saingan bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) selepas menewaskan Brunei 3-0 pada aksi ketiga Kumpulan A, hari ini.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya (UM) di sini, tiga gol skuad kendalian Monheng Mikewong itu disumbangkan pemain tengah Kongmathilath Phithack untuk memastikan Laos mengutip tiga mata pertama selepas mengharungi tiga perlawanan.

Kongmagthilath meletakkan Laos di hadapan pada minit ke-64 selepas tenang menolak masuk bola ke dalam gawang sebelum melepaskan rembatan deras lapan minit kemudian untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Dia juga melengkapkan jaringan hatriknya selepas menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-86 untuk mengesahkan kemenangan Laos.

Sementara itu, Monheng berkata perubahan taktikal yang dibuat pada separuh masa menjadi kunci kemenangan hari ini.

"Ia adalah sukar dalam separuh masa pertama kerana kami tidak mempunyai penyudah terhadap peluang yang kami cipta. Jadi kami menyusun semula strategi dan menggunakan taktik berlainan untuk mendapatkan gol. Saya gembira kami berjaya pada babak kedua," katanya.

Laos akan menentang Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A pada Rabu di Stadium Shah Alam.

-- BERNAMA