•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Singapura Capai Emas Pertama Acara Layar KL2017


Oleh Hamdan Ismail LANGKAWI, 21 Ogos (Bernama) -- Singapura mengetepikan cabaran Thailand dan Malaysia dalam kategori berpasukan acara Laser Radial untuk memperolehi pingat emas pertama mereka dalam acara perahu layar Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini hari ini.

Dua kemenangan pada perlumbaan pusingan pertama dan satu di pusingan kedua sudah memadai untuk memastikan pingat emas dalam genggaman pasukan republik itu.

Dalam pada itu, Malaysia sudah memberi sinar kilauan emas dalam acara Optimist berpasukan apabila menamatkan saingan hari pertama dengan melakarkan enam kemenangan untuk mendahului tiga pasukan lain.

Kombinasi Nor Nabila Natasha Mohd Nazri, Nurul Shazwanie Mohd Saad, Israr Hazim Ismail, Muhammad Syafie Ali dan Muhammad Fauzi Kaman Shah tampak menjadi untuk mengenepikan saingan Thailand, Singapura dan Myanmar dalam dua pusingan pertama.

Kemenangan itu membolehkan mereka memasuki peringkat separuh akhir esok di mana mereka akan bertemu Myanmar yang mengakhiri cabaran hari ini di kedudukan yang keempat.

Sementara itu, saingan masih lagi terbuka bagi kategori berpasukan Laser Standard di mana Singapura mendahului dengan tiga mata namun diikuti rapat oleh Malaysia dengan dua mata dan Thailand satu mata.

Kategori ini menyaksikan pertembungan atlet yang pernah beraksi di Sukan Olimpik iaitu Khairulnizam Mohd Affendy dari Malaysia dan Keerati Bualong dari Thailand.

Ketiga-tiga pasukan ini masih berpeluang untuk memperbaiki kedudukan dalam pertandingan akhir esok dan mengesahkan warna pingat yang akan dimenangi.

Kategori lumba berpasukan yang menampilkan tiga kategori menjadi pembuka tirai acara layar KL2017 9 di Kompleks Perahu Layar Kebangsaan Langkawi yang keseluruhannya melibatkan 102 atlet dari tujuh buah negara.

Selain peringkat separuh akhir dan akhir untuk acara berpasukan Optimist dan peringkat akhir Laser Standard, kategori-kategori International 470 dan 420 akan turut dipertandingkan esok.

-- BERNAMA