•   

SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017 › SENARAI BERITA




Malaysia Tidak Putus-putus Buru Emas, Raih Enam Lagi



Atlet Menembak Negara Benjamin Khor Cheng Jie mengibarkan Jalur Gemilang selepas merangkul Emas acara menembak
KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Malaysia memulakan rentak positif di hari kedua Sukan SEA ke-29 dengan mengaut enam pingat emas antaranya menerusi recurve berpasukan lelaki dan wanita serta muka baru Sukan SEA Yeap Wai Kin yang menyumbang emas kedua di dalam wushu.

Dengan 13 daripada 25 emas yang dipertandingkan setakat lewat tengah hari ini, kontinjen tuan rumah kini memperoleh 22 emas untuk menjarakkan diri daripada negara pesaing lain. Singapura mengekori di tangga kedua dengan sembilan emas, Thailand dan Vietnam masing-masing enam, Indonesia lima, Filipina tiga dan Myammar dua.

Kedudukan ini bakal berubah selepas enam final bagi acara renang dengan Malaysia menmyertai lima daripadanya termasuk Welson Sim yang mempertahankan kejuaraannya dalam acara 400 meter gaya bebas.


Pelumba negara Mohd Harrif Saleh (kiri) dan adiknya Mohd Zamri selepas masing-masing berjaya merangkul pingat emas dan gangsa dalam acara kriterium


Malam ini Malaysia akan bertemu Myanmar dalam bola sepak lelaki Kumpulan A di Shah Alam. Sementara pasukan pelawat sudah menempah tempat ke separuh akhir, Malaysia perlu satu lagi mata untuk mara dengan tinggal satu lagi perlawanan menentang Laos, Rabu ini.

Dalam acara kriterium lelaki yang mendebarkan, pelumba Malaysia Mohd Harrif Salleh mempertahankan kejuaraannya yang disahkan menerusi ?photo finish? sementara permulaan pertandingan skuasy ditangguhkan berikutan satu kemalangan yang melibatkan dua bas yang mengangkut atlet Thailand, Filipina dan Myanmar.

Ada antara pemain telah mendapatkan rawatan dan Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC) berkata dua pemain Myanmar menarik diri daripada pusingan pertama apabila pertandingan dijadualkan

semula petang ini.

Selepas gagal meraih pingat emas dalam acara memanah individu semalam, pemanah recurve negara mencapai sasaran dengan trio Haziq Kamaruddin, Khairul Anuar Mohamad dan Muhammad Akmal Nor Hasrin menewaskan Thailand 5-1 untuk mempertahankan pingat emas dalam acara berpasukan.

Pingat emas recurve wanita berpasukan dimenangi trio Malaysia terdiri daripada Nur Afisa Abdul Halil, Nur Aliya Ghapar dan Nuramalia Haneesa Mazlan dengan margin yang sama ke atas Indonesia.

Tiga lagi pingat emas diperoleh menerusi bowling dan menembak acara trap lelaki.

Dalam perlumbaan dramatik ke garisan penamat Mohd Harrif Salleh dengan bantuan abangnya Mohd Zamri mempertahankan pingat emas acara kriterium lelaki dengan jarak hanya setengah roda untuk membolehkan adik-beradik itu meraih emas dan gangsa dalam lumba berbasikal taktikal lebuh raya menerusi photo finish dengan pelumba Thailand Thanawut Sanikwathi dengan catatan masa 59:35s untuk ketiga-tiga mereka.

Malaysia memperoleh emas dan perak dalam acara boling beregu lelaki menerusi Alex Liew dan Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek yang menjatuhkan 2,647 pin.

Dalam wushu, muka baru Yeap Wai KIn meneruskan pemburuan emasnya dengan emas kedua biarpun mengalami kecederaan bahu kanan, Wai Kin juga menewaskan rakan sepasukannya dalam acara qiangshu (lembing) lelaki selepas kemenangannya yang bermula daripada acara jianshu (pedang). Malaysia mengutip satu gangsa dalam acara qiangshu wanita menerusi Phoon Eyin.

Di Lapang Sasar Menembak Nasional, Subang, Benjamin Khor

membuka pertandingan dengan tembakan emasnya dalam acara double trap individu lelaki dengan 71 mata dan rakan sepasukan Abraham Eng memperoleh perak dengan 66 mata manakala penembak Thailand, Temmart Sirawait mendapat gangsa dengan 44 mata.

Kali terakhir acara ini dipertandingkan ialah pada 2007.

-- BERNAMA